SANDAKAN – Laluan sempit dan kedudukan rumah yang terlalu rapat merupakan antara cabaran utama pasukan bomba dalam operasi memadam kebakaran besar yang memusnahkan kira-kira 200 rumah di perkampungan atas air Kampung Bahagia, di sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 pagi itu, api dilaporkan merebak dengan pantas dengan sebahagian besar kawasan penempatan itu musnah sepenuhnya.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, Jimmy Lagung berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.32 pagi sebelum menggerakkan operasi pemadaman.
Beliau berkata, seramai 30 anggota dikerahkan termasuk bantuan dari BBP Kinabatangan dan lain-lain agensi seperti Sabah Electricity Sdn. Bhd., Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan Polis Diraja Malaysia bagi mengawal kebakaran.
“Kebakaran melibatkan 200 rumah kediaman atas air jenis tidak kekal dan musnah 100 peratus. Pasukan bomba menghadapi kesukaran berikutan keadaan jalan yang sempit menghalang pergerakan jentera ke lokasi kejadian.
“Selain itu keadaan air laut yang surut menyukarkan usaha mendapatkan sumber bekalan air terbuka dan faktor angin kencang serta kedudukan rumah yang rapat menyebabkan api merebak dengan cepat,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, pasukan bomba menggunakan sumber air dari tangki serta pili bertekanan milik kilang berhampiran bagi memadam kebakaran.
Setakat ini, punca kebakaran dan jumlah sebenar mangsa yang terjejas masih dalam siasatan pihak berkuasa.
Sebelum ini, tular beberapa video di media sosial memaparkan rakaman yang diambil dari atas helikopter menunjukkan api dilihat marak dengan sangat pantas sehingga sebahagian besar kawasan penempatan berkenaan musnah.
Beberapa video lain turut memaparkan keadaan rumah setelah api berjaya dipadamkan yang kelihatan musnah sepenuhnya tanpa sebarang sisa tinggal. – KOSMO! ONLINE

2 hours ago
3



![[VIDEO] ‘Kebakaran paling besar pernah berlaku’, 200 rumah atas air musnah](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/04/kebakaran-Sabah.jpeg)










































