Piala Malaysia: Gol Shitembi bawa Kuching City ke final

9 hours ago 4

KUCHING – Video Bantuan Pengadil (VAR) seperti menjadi ‘musuh’ buat Selangor FC yang dinafikan slot final Piala Malaysia selepas tewas 0-1 kepada Kuching City pada aksi separuh akhir kedua di Stadium Negeri, sebentar tadi.

Keputusan itu memastikan kejayaan buat The Cats yang layak hasil kemenangan 2-1 secara agregat sekali gus mengesahkan satu lagi rekod luar biasa dalam sejarah penubuhan kelab dari Sarawak itu.

Berbeza dengan The Red Giants, ia menjadi penutup yang paling menyedihkan apabila kekecewaan ini adalah kekalahan pertama buat pengendalinya, Kim Pan-gon dan terpaksa menamatkan 90 minit dengan sembilan pemain ekoran dua layangan kad merah.

Permainan bermula agak menarik dengan menyaksikan kedua-dua pasukan saling mengatur gerakan namun tentangan Selangor FC seakan hanya bertahan kira-kira 15 minit apabila dilihat mengalih tumpuan kepada tugasan bertahan.

Kehadiran luar biasa penyokong tuan rumah nyata menghadirkan semangat tambahan dan usaha diatur Kuching City akhirnya membuahkan hasil apabila memperoleh gol pembukaan menerusi Petrus Shitembi pada minit ke-31.

Drama perlawanan ini makin menarik apabila penilaian VAR mengakibatkan Safuwan Baharudin dilayangkan kad merah selepas dikesan mengasari Ronald Ngah Wanja sekali gus insiden pada minit ke-48 itu mencetuskan situasi penuh tekanan buat Selangor FC.

Kira-kira 14 minit selepas itu, penilaian semula VAR oleh pengadil perlawanan, Ahmad Zuhadi Dzulkifli terus tidak berpihak kepada pelawat apabila giliran Mukhairi Ajmal Mahadi diarahkan keluar padang.

Walaupun kurang dua pemain, perubahan drastik yang dilakukan khususnya pada 15 minit terakhir seperti menghadirkan tenaga tambahan buat pelawat yang dihidangkan beberapa peluang terbaik namun penjaga gol tuan rumah, Haziq Nadzli nyata lebih bersedia untuk melakukan halangan. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |