Jangan bimbang RON95, diesel ada

2 hours ago 2

GEORGE TOWN – Pengguna di negeri ini dinasihatkan agar tidak panik susulan beberapa stesen servis Caltex di wilayah Utara termasuk Pulau Pinang dan Kelantan kini mengalami gangguan sementara bekalan RON95 dan diesel untuk beberapa hari, bermula semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan dan Perpaduan Masyarakat Negeri, Goh Choon Aik berkata, pihaknya sudah mengambil maklum perkara tersebut sejurus menerima kenyataan daripada pihak Caltex Malaysia.

“Caltex telah menjelaskan bahawa gangguan sementara adalah disebabkan oleh kelewatan luar jangkaan di pelabuhan yang menyebabkan jadual penghantaran ke stesen minyak terjejas. Orang ramai diminta jangan panik dan boleh mengisi petrol RON95 dan diesel di stesen-stesen minyak jenama lain,” katanya kepada Kosmo! di sini, hari ini.

Sementara itu, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang, S. Jegan pula memberitahu, pihaknya terlebih dahulu telah dimaklumkan daripada pihak Caltex berhubung gangguan sementara bekalan RON95 dan diesel.

“Hal ini (gangguan sementara bekalan RON95 dan diesel) hanya melibatkan stesen minyak Caltex dan tidak berlaku di stesen-stesen jenama lain.

“Justeru, pengguna masih boleh mendapatkan bekalan minyak di stesen-stesen minyak jenama lain.

“Jangan bimbang, bekalan RON95 dan diesel di negeri ini masih ada,” ujarnya ketika dihubungi tadi.

Terdahulu, Caltex Malaysia dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa berlaku gangguan sementara bekalan RON95 dan diesel untuk beberapa hari bermula, 17 April melibatkan beberapa stesen servis Caltex di Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Kelantan

Pengendali stesen minyak itu berkata, perkara tersebut berlaku disebabkan kelewatan tidak dijangka di pelabuhan, yang menjejaskan jadual penghantaran bahan api itu.

“Pasukan kami berusaha mempercepatkan penghantaran serta meminimumkan gangguan operasi.

“Kami memohon maaf atas segala kesulitan yang berlaku. Terima kasih atas kesabaran dan pemahaman berterusan anda,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |