Tidak perlu diperbesar, bimbang rakyat takut kibar Jalur Gemilang – Saifuddin

3 weeks ago 11

BANDAR BAHARU – Insiden pemasangan bendera secara cuai yang terbukti bukan disengajakan tidak perlu diperbesarkan sehingga menimbulkan ketakutan untuk mengibar Jalur Gemilang.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, semangat cintakan negara dan jiwa patriotik mesti dipupuk bukan sahaja dalam jiwa setiap rakyat, malah ditonjolkan menerusi amalan serta simbol kebangsaan yang jelas.

Katanya, antara cara paling mudah menunjukkan jiwa patriotik adalah dengan mempamerkan Jalur Gemilang, khususnya ketika sambutan bulan kebangsaan atau majlis-majlis signifikan melibatkan rakyat dan negara.

“Kalau berlaku insiden bendera dipasang terbalik misalnya, sikap kita ialah jika ada aduan dan laporan pihak polis akan bertindak mengikut peruntukan undang-undang. Kita ada Akta Lambang dan Nama serta Akta Kesalahan Kecil.

“Tetapi dalam proses siasatan, kita perlu memastikan sama ada perkara itu disengajakan dengan niat jahat untuk mempersenda atau mencetuskan keresahan ataupun hanya khilaf, tidak sengaja,” katanya pada sidang akhbar Program Sua Mesra Kementerian Dalam Negeri, di sini hari ini.

Namun katanya, jika siasatan mendapati ia hanya kecuaian atau kesilapan yang tidak disengajakan, perkara itu tidak wajar diperbesar sehingga menimbulkan ketakutan dalam kalangan rakyat untuk mengibarkan bendera.

“Kita tidak mahu keadaan di mana rakyat jadi takut hendak pasang bendera semata-mata khuatir silap sedikit boleh disiasat. Prinsip kita jelas, jiwa patriotik mesti ditunjukkan tetapi penguatkuasaan pula perlu dilaksanakan secara bijaksana,” katanya.

Sehubungan itu, beliau turut menggesa pihak media memainkan peranan mendidik masyarakat dengan menyiarkan lebih banyak contoh pemasangan Jalur Gemilang yang betul, berbanding memberi fokus berlebihan kepada satu dua insiden kesilapan. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |