‘Tengok memang tak lalu, tapi isi daging sedap masak rendang’

1 day ago 8

PETALING JAYA – Jarang sekali kita melihat haiwan eksotik seperti landak ada peminatnya kerana sifat dagingnya yang berbeza dengan haiwan ternakan lain.

Namun ada penternak yang sememangnya menjadikan landak sebagai sumber rezeki dengan menjual sekitar RM180 untuk sebekas yang beratnya 1 kilogram.

Menerusi gambar dimuat naik oleh Rizal Anuar di Facebook, kelihatan dua ekor landak yang dibiak sendiri selesai disembelih dan menunggu untuk dibeli oleh pelanggan.

Katanya, landak tersebut adalah hasil biak baka dalam kurungan berlesan dan bukannya landak liar.

“Alhamdulillah. Petang ni selesai sembelihan dua ekor landak raya yang dibiak dari hasil biak baka dalam kurungan berlesen (bukan landak liar).

“Siap je bungkus dan terus simpan dalam pembeku tunggu untuk ‘dipinang’. Video sembelihan landak tak sesuai nak muat naik takut ada yang terkesan,” tulisnya di ruangan kapsyen.

Kelihatan kedua-dua ekor landak itu telah pun dibersihkan serta dicabut durinya.

Selain itu, kelihatan isi dagingnya juga tebal dan berlemak, kemungkinan kerana ia dibiakkan sendiri oleh penternak.

Hantaran tersebut mendapat sehingga 15,900 tanda suka dan 969 perkongsian.

Tinjauan Kosmo! di ruangan komen mendapati ramai yang berasa ‘kembang tekak’ melihat haiwan itu namun masih terdapat peminat daging landak.

“Landak ni paling sedap lemak dan sedap kalau bakar, panggang guna tempurung nyiur, dagingnya lembut tapi kalau tengok macam mana siat kulit tu, tak tergamak nak makan,” komen Derahman.

“Pernah makan daging landak ini dulu, memang sedap isi dia. Cuma tulah rupa dia je buat tak lalu,” komen Ramlee.

“Daging paling sedap nombor satu di Malaysia kalau masak rendang,” komen Sobri pula. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |