KUALA PERLIS – Taktik licik sindiket penyeludupan menjadikan bungkusan berisi ganja kelihatan seperti sampah hanyut gagal apabila 49 ketulan dadah itu berjaya ditemukan di pesisir pantai Kuala Perlis, semalam.
Kesemua dadah seberat kira-kira 50 kilogram itu dijumpai di kawasan pantai berdekatan sempadan Malaysia-Thailand, di sini.
Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata, rampasan bernilai RM150,000 itu dilakukan kira-kira pukul 2.05 pagi ketika air pasang.
“Sebaik menerima maklumat risikan, pasukan segera ke lokasi dan terserempak dengan sebuah bot dipercayai dinaiki seorang atau dua individu.
“Suspek yang dipercayai telah selesai ‘melaksanakan penghantaran’ sempat meloloskan diri ke arah sempadan Thailand, ” katanya pada sidang akhbar di Pejabat Zon Maritim Kuala Perlis, hari ini.
Kata beliau, pihaknya percaya proses pengambilan di darat melibatkan individu lain yang menunggu sebelum membawa keluar bekalan tersebut.
“Lokasi kejadian kurang dua kilometer dari sempadan negara dan dipercayai menggunakan bot jenis ekor biawak yang hanya bergerak dalam kawasan terhad serta tidak pergi jauh dari pantai,” ujarnya.
Jelasnya, lokasi itu mempunyai tembok dan dikenal pasti sebagai ‘landing point’ yang dipercayai menjadi tempat pengambilan oleh pihak tertentu.
“Dalam tempoh lima tahun lalu, sebanyak 11 kes dikesan di lokasi sama dan ini merupakan kes pertama bagi tahun ini,” katanya.
Tambahnya, modus operandi sindiket adalah bergerak dalam keadaan gelap dengan kru bot yang minimum, selain menjadikan bungkusan agar kelihatan seperti sampah hanyut bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
“Anggaran nilai pasaran ganja itu sekitar RM3,000 sekilogram untuk edaran tempatan dan dipercayai boleh digunakan oleh lebih 30,000 penagih,” katanya. – KOSMO! ONLINE

13 hours ago
8










![[VIDEO] ‘Tak hormat netizen tak apa, tapi tolong hormat bulan Ramadan kak’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/02/WhatsApp-Image-2026-02-23-at-5.09.39-PM.jpeg)






































