Syazwani sasar gegar Terbuka Singapura

1 day ago 9

MESKIPUN baru dua hari pulang dari Amerika Syarikat (AS), Nur Syazwani Sahar terus mencuri tumpuan apabila mempertahankan kejuaraan wanita pada Kejohanan Terbuka Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIO) 2025 berlangsung Ahad lalu.

Syazwani, 26, menamatkan saingan di tempat ke-10 keseluruhan dengan 1,776 jatuhan pin, namun muncul pemain wanita terbaik buat tahun kedua berturut-turut sekali gus membuktikan statusnya antara peneraju boling negara.

“Saya bermula dengan sempurna, tapi masuk dua permainan seterusnya lorong ‘bad pair’ buat saya hilang momentum. Tapi saya tetap target purata 200 (mata) dan akhirnya bangkit dengan 243,” katanya.

Turut membanggakan, pencapaian itu hadir hanya dua hari selepas Syazwani pulang daripada Jelajah PWBA di Las Vegas, di mana dia menamatkan USBC Queens di kedudukan ke-13 bersama daripada hampir 200 peserta terbaik dunia.

Jet lag masa pergi (ke AS) memang teruk, tapi balik sini saya cepat sesuaikan diri. Saya puas hati sebab daripada 200 peserta, saya berjaya masuk top 16. Itu satu pencapaian besar dan saya sangat berbangga,” ujar Syazwani.

Kejayaan itu membolehkannya membawa pulang RM7,000 sebagai juara wanita serta RM850 untuk kedudukan keseluruhan dan kini mengalihkan fokus ke Terbuka Singapura minggu hadapan.

“Saya akan berlatih betul-betul sebelum Singapura. Dalam kejohanan ini saya rasa adjustment (pelarasan) saya lambat. Jadi saya akan betulkan semua, tajamkan balik skil dan target top 10,” katanya yang menganggap kejohanan itu sebagai penanda aras penting.

Faten Najihah Ahmad Faik dan Lavinia Kho masing-masing muncul naib juara serta tempat ketiga terbaik kategori wanita untuk melengkapkan podium.

Di kalangan bintang lelaki kebangsaan, Ahmad Muaz Fishol (1,815) dan Hafiz Zainuddin (1,813) berada di tempat keenam serta ketujuh, diikuti Tun Hakim (1,786) di tempat kesembilan, Rafiq Ismail (1,732) ke-16 serta Timmy Tan (1,706) ke-19.

Read Entire Article
Pertanian | | | |