KUALA LUMPUR – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengesahkan tiada sebarang peruntukan kewangan disalurkan secara terus kepada pasukan ZK Racing setakat ini bagi membantu kempen pelumba sensasi negara, Hakim Danish Ramli dalam saingan Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) kelas Moto3.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Mordi Bimol mengesahkan perkara itu dan menjelaskan tiada peruntukan khusus yang diperuntukkan kepada pasukan tersebut buat masa ini.
Jelas beliau, kos sukan permotoran yang terlalu tinggi menyebabkan kebergantungan sepenuhnya kepada dana kerajaan adalah tidak mampan, justeru menuntut kerjasama strategik yang lebih erat dengan pihak swasta.
“Kita tak ada peruntukan untuk setakat ini,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Menandatangani Kerjasama AEON Credit Service bersama pasukan Hakim Danish, MSi Racing Team di WTC Kuala Lumpur hari ini.
Pelumba Moto3 negara, Hakim Danish Ramli (kiri) pada Majlis Menandatangani Perjanjian Kerjasama antara Aeon Credit dan MSi Racing Team di WTCKL hari ini.Dalam pada itu, Mordi turut berterima kasih kepada syarikat swasta seperti AEON Credit yang tampil menjadi penaja buat pasukan Hakim Danish dalam kelas Moto3.
“Sebab itu, kita perlu berterima kasih kepada Aeon Credit sebab ini adalah permulaan untuk membuka mata kepada agensi-agensi korporat lain supaya terlibat dalam membantu kerjasama strategik sebeginilah.
“Kita tak dapat bergantung dengan dana kerajaan semata-mata sebab semua tahu kos untuk sukan permotoran ni sangat tinggi, bukan murah. Jadi kita perlukan kerjasama strategik daripada semua pihak,” tambahnya.
Sebelum ini KBS sebenarnya sudah memperuntukkan RM3 juta bagi Program MDEV Berprestasi Tinggi 2025 yang bertujuan membangunkan bakat permotoran secara menyeluruh.
Tambahan RM1 juta turut disalurkan bagi menyokong penyertaan Hakim Danish dalam Kejuaraan Dunia FIM JuniorGP 2025 menerusi Kumpulan Wang Amanah Sukan Negara (KWASN).
Sementara itu, ketika ditanya mengenai dana bantuan dari KBS, Pengurus ZK Racing, Zulfahmi Khairuddin menegaskan pihaknya sentiasa memerlukan sokongan KBS untuk dimanfaatkan kepada pelumba berbakat seperti Hakim Danish dan Qabil Irfan Azlan supaya mereka boleh pergi lebih jauh.
Bagaimanapun, Zulfahmi mengakui mengenai permohonan bantuan daripada KBS, perkara itu perlu dijawab sendiri oleh pihak Litar Antarabangsa Sepang (SIC) kerana pasukannya itu tidak berurusan secara terus dengan KBS.
“Saya hanya menghantar laporan melalui SIC dan saya percaya SIC berusaha keras untuk meletakkan sukan permotoran ini dalam perhatian KBS.
“Saya percaya sokongan itu ada. Dari tahun pertama kita bangunkan program ini, KBS sentiasa bersama kita. Tidak adil untuk mengatakan KBS tidak menyokong kerana pelumba kita seperti Danish dan Qabil Irfan adalah aset negara.
“Semua pelumba kita adalah juara. Danish berada dalam kelompok tiga terbaik dunia di Red Bull Rookies Cup tahun lalu. Saya percaya KBS perlu melihat perkara ini dengan lebih baik kerana dua pelumba berbakat ini bukan mudah untuk ditemui, mungkin 10 tahun sekali baru lahir,” katanya.

1 hour ago
2

















































