PETALING JAYA – Seorang wanita meluahkan penat dengan sikap suaminya yang pengotor dan pemalas untuk membersihkan diri termasuk hanya mandi dua kali sehari serta gosok gigi seminggu sekali.
Luahan itu dikongsikan oleh pengguna Thread thedreamys123 yang menggambarkan wanita itu tidak pasti selama mana harus bertahan dengan sikap pengotor dan pemalas suaminya untuk membersihkan diri.
“Mandi dua hari sekali, kadang bersabun kadang tak, gosok gigi seminggu sekali, rambut tak tahu bila kali terakhir syampu, kuku biar panjang kotor dulu baru nak potong.
“Semua benda tu pun nak kena suruh dan berleter dulu. Itu pun kadang ikut kadang tak. Aku tak tahulah sampai bila aku boleh bertahan.
“Takkan nak bercerai sebab benda remeh macam ni? Aku pun penat benda asas macam tu pun nak kena suruh dan paksa dulu. Hati aku ni dah banyak kali sakit sebab benda remeh macam ni,” katanya pada hantaran berkenaan.
Wanita itu berkata, setiap malam dia akan mengajak suaminya untuk mandi memandangkan hanya waktu tersebut sahaja lelaki itu akan berbuat demikian.
“Itu pun pukul 2, 3 pagi. Tidur dulu lepas tu saya nak kena kejut dia pula bangun mandi. Dah tidur mati. Kalau saya tak kejut, memang dia tak mandi sampai esok.
“Saya suruh mandi dulu sebelum tidur, tak nak. Sekarang nak ajak mandi sama-sama susah sebab ada anak kecil,” katanya.
Menerusi ruangan komen, orang ramai memberikan pelbagai maklum balas termasuk meminta wanita itu membawa suaminya bertemu pakar psikiatri.
“Sejak bila dia jadi macam tu? Mungkin awak boleh bantu dia dengan bawa suami awak kepada pakar psikiatri. Mungkin tanda-tanda penyakit. Mungkin boleh diagnosis oleh doktor dahulu dan lihat selepas itu,” komen pengguna Thread Cacafauzi.
“Dia sakit ke? Kemurungan? Bipolar? Adakah dia ambil ubat?,” tanya Ainarjuna78.
Dalam masa sama, ada juga yang bertanya sama ada suaminya mengambil bahan terlarang seperti dadah dan mereka menasihati wanita itu untuk melihat tanda-tanda berkenaan.
“Orang yang ambil ‘barang’ ni selalunya malas mandi. Suka duduk dalam jamban berjam-jam dengan alasan ‘berak’. Suka menyendiri dalam dunia dia sendiri. Mata selalu merah atau berkaca,” komen pengguna Thread Qylamarissa94.
“Orang ambil bahan terlarang memang malas mandi. Duduk lama dalam tandas kononnya sukar membuang, padahal menghisap dadah. Cuba cari tanda-tanda atau boleh jumpa alat-alat tersembunyi,” kata Noraismafuad.
“Macam tanda-tanda ambil ganja. Ada kenal seorang perangai macam tu,” ujar Wan Ainina Atilia. – KOSMO! ONLINE