EXCO Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor, Mohd Hairi Mad Shah menafikan dakwaan Stadium Sultan Ibrahim (SSI) di Iskandar Puter milik Johor Darul Ta’zim (JDT) sepenuhnya.
Mohd Hairi dalam satu kenyataan di laman Facebook peribadinya berkata, dakwaan yang tular di media sosial itu disifatkan sebagai tidak berasas dan mengelirukan.
Menurut Mohd. Hairi, untuk penjelasan yang tepat dan berfakta, SSI adalah sah hak milik JDT yang berada di bawah naungan dan perkenan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim selaku pemilik kelab.
“Pembinaan stadium bertaraf antarabangsa itu merupakan sebahagian daripada visi strategik Tunku Mahkota Ismail dalam membangunkan ekosistem sukan moden dan berkelas dunia di negeri Johor.
“JDT berperanan sebagai entiti profesional yang mengurus aspek pasukan termasuk teknikal, prestasi pemain, pembangunan bakat serta pengurusan kelab secara keseluruhan,” katanya.
Mengulas lanjut, Mohd Hairi menjelaskan tadbir urus stadium dilaksanakan secara berstruktur menerusi Perbadanan Stadium Negeri Johor (PSNJ) yang diberi kepercayaan untuk mengawal selia operasi harian, penyelenggaraan berkala, keselamatan, fasiliti serta pengurusan acara.
“Model pemisahan peranan itu jelas menunjukkan pendekatan profesional dan selari dengan amalan terbaik kelab elit dunia.
“JDT fokus kepada prestasi dan kejayaan pasukan, manakala PSNJ bertanggungjawab terhadap pengurusan serta penyelenggaraan stadium. Pendekatan ini antara faktor utama kejayaan berterusan JDT di peringkat nasional dan antarabangsa,” katanya.
SSI yang dibuka secara rasmi pada 2020 dianggap antara venue bola sepak terbaik Asia dan telah mendapat pengiktirafan global sebagai ‘Stadium Of The Year 2020’ dalam undian awam yang dikendalikan laman web StadiumDB.com berpangkalan di Poland. – KOSMO! ONLINE

16 hours ago
10














































