SKUAD bola sepak bawah 23 tahun (B-23) kebangsaan mampu menghidupkan semula peluang melangkah ke pusingan akhir Piala Asia B-23 tahun depan sekiranya mencatat kemenangan ke atas Thailand di Stadium Thammasat malam ini.
Pada ketika ini, skuad Harimau Muda itu menghuni tangga ketika Kumpulan F peringkat kelayakan dengan tiga mata, satu mata di belakang Thailand dan Lebanon yang berkongsi empat mata.
Jurulatih skuad B-23 negara, Nafuzi Zain masih yakin dengan peluang skuad kendaliannya itu biarpun mengakui Thailand yang turun selaku tuan rumah memiliki kelebihan dari segi kualiti permainan.
“Thailand itu kita semua tahulah bagaimana pasukan mereka. Mereka memang ada kelebihan dari segi kualiti dan sangat berbeza jika dibandingkan dengan pasukan kita, tetapi dalam bola sepak, apa sahaja boleh berlaku.
“Apa yang penting adalah kita perlu berusaha dan bekerja keras selain yakin dengan kemampuan diri. Bagi saya, itu adalah perkara yang paling penting,” kata bekas jurulatih Terengganu itu.
Malaysia kembali menghidupkan peluang untuk melangkah ke pusingan akhir Piala Asia B-23 2026 apabila membelasah Mongolia 7-0 Sabtu lalu, tiga hari selepas tewas 0-1 kepada Lebanon pada aksi pembukaan.
Justeru, hanya kemenangan yang dapat meletakkan pasukan negara kembali ke landasan terbaik untuk melayakkan diri ke kejohanan yang berlangsung dua tahun sekali itu.
Sementara itu, Nafuzi juga enggan skrip sama seperti Kejohanan AFF B-23 di Indonesia Julai lalu kembali berulang di mana Malaysia sekadar mencatat keputusan seri menentang tuan rumah pada aksi terakhir peringkat kumpulan.
“Dari segi skrip itu memang agak samalah. Perlawanan pertama kita tewas, manakala aksi ketiga menentang pasukan tuan rumah dan ia agak sukar. Bagaimanapun, kita kena yakin dan Insya-Allah kalau ada rezeki,” ujarnya.
Sebagai rekod, juara setiap kumpulan akan mendapat slot secara automatik ke Piala Asia B-23 tahun depan diikuti empat pasukan kedua terbaik.