KUALA LUMPUR – Polis menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah jenis MDMA dan cecair vape yang aktif sejak hujung tahun lalu dengan rampasan bernilai lebih RM1.48 juta hasil tujuh serbuan di sekitar ibu negara pada 22 Ogos lalu.
Dalam operasi dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur bersama JSJN Bukit Aman itu, seramai sembilan individu ditahan termasuk lima lelaki, tiga wanita tempatan serta seorang wanita warga Thailand berusia antara 24 hingga 34 tahun.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, serbuan pertama membawa kepada penahanan seorang lelaki dan seorang wanita tempatan di sebuah kondominium di Jalan Kuchai Jaya kira-kira pukul 7.45 malam.
Katanya, pemeriksaan lanjut membawa polis ke sebuah unit rumah yang menyimpan pelbagai jenis dadah.
“Antaranya termasuk empat bungkus plastik berisi dadah jenis MDMA seberat 3,587.5 gram, 3,750 katrij mengandungi cecair disyaki MDMA 7,500 milliliter (ml), 2,600 botol berisi 39,000 ml cecair MDMA serta beberapa bungkusan katrij vape.
“Nilai keseluruhan rampasan dadah dianggarkan RM1,485,220, cukup untuk menampung penggunaan 35,257 penagih,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Fadil berkata, hasil tangkapan susulan di beberapa lokasi lain sekitar Taman Pertama, Taman Kobena, Jalan Kepong dan Pudu Perdana membawa kepada penahanan enam lagi suspek.
“Ujian saringan awal air kencing mendapati kesemua suspek negatif dadah,” jelasnya.
Menurutnya, siasatan mendapati sindiket berkenaan menjadikan kondominium ‘gated and guarded’ sebagai pusat memproses serta menyimpan dadah sebelum diedarkan melalui ‘runner’ di sekitar Lembah Klang.
“Polis percaya sindiket itu mula bergerak aktif sejak penghujung 2024,” katanya.
Tambah beliau, lima suspek direman tujuh hari bermula 23 Ogos hingga semalam manakala reman terhadap empat yang lain ditolak dengan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Dalam operasi sama katanya, polis turut menyita aset milik suspek dianggarkan RM1.53 juta termasuk wang tunai RM533,058, empat buah kereta mewah jenis Mercedes-Benz, BMW dan Ford Mustang, dua utas jam tangan Rolex, barangan kemas serta beg tangan berjenama.
Katanya, polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terbabit dalam pengedaran dadah dan meminta orang ramai menyalurkan maklumat melalui Hotline JSJN Bukit Aman di talian 012-2087222. – KOSMO! ONLINE