PETALING JAYA – Bukan iri hati terhadap rezeki orang, pelakon Raja Atiq mendedahkan tindakan sesetengah penerbit mengambil pempengaruh media sosial membintangi produksi mereka kadangkala mencetuskan isu di lokasi penggambaran.
Atiq atau nama sebenarnya Raja Muhammad Atiqullah Shah Raja Azman Shah, 25, berkata, peluang sebegitu sepatutnya wajar diberikan kepada penggiat seni berbakat dan bertanggungjawab, bukan mengambil individu yang buat hal sendiri.
“Saya bukan tiada kerja lain, boleh saja buat benda lain. Tapi kenapa saya pilih berlakon? Sebab nak tunjukkan kualiti lakonan. Cuma sekarang sikit-sikit (produksi) ambil pempengaruh entah siapa-siapa, terus bagi jadi pelakon.
“Saya tak dengki rezeki orang, tapi ini untuk filem, drama, telefilem semua ini takkan tak tengok dulu cara lakonan mereka? Paling biadab bila di set, perangai pun macam musibat.
“Benda ini orang tak bercakap, tapi bila dah rasa sendiri, inilah jadinya. Saya bukan nak kata perangai saya paling bagus, tapi bila berkali-kali kena dan bukan saya seorang, orang lain pun sama,” katanya dalam platform Threads.
Difahamkan, luahan tersebut dikongsikan pelakon drama rantaian Nur itu susulan dakwaan netizen yang melabelnya sebagai artis sendu sehingga tiada produksi ingin menawarkan pekerjaan.
Menurut Raja Atiq lagi, dia bersuara agar pihak produksi lebih mementingkan kriteria seseorang sebelum mengetengahkan individu tersebut sebagai pelakon demi menjaga kualiti industri seni kreatif.
Menurutnya, segelintir mereka lebih banyak luangkan masa dengan bermain telefon bimbit, tidak berlatih dan mengasingkan diri daripada pelakon lain.
“Punca artis veteran pun cakap pasal perkara ini adalah kerap main telefon, tak berlatih dialog, duduk dalam kereta, tak menghormati set atau dalam ke, borak-borak dulu dan ‘calltime’ tak jaga.
“Bisnes saya dah jalan, okey tapi biasalah kita masih nak asah lakonan dengan cari karakter yang bagus tapi apakan daya ramai ‘influencer’ diangkat naik. Kualiti drama tak jaga, netizen mencemuh. Siapa yang rugi? Kita semua, orang luar tengok pun malu,” ujarnya.
Begitupun, anak seni asal Kelantan itu sehingga kini dia tidak pernah berhasrat untuk meninggalkan dunia lakonan.
“Saya memang tak nak berhenti berlakon. Impian saya nak harumkan nama Malaysia supaya boleh pergi ke peringkat antarabangsa.
“Memang saya ada kelemahan, banyak yang perlu diperbaiki, tapi saya percaya rezeki Allah tak pernah putus. Akan ada masa yang lebih baik nanti, insya-Allah,” katanya.
Menerusi hantaran sebelumnya, Raja Atiq yang berkahwin pada Februari lalu secara terbuka memaklumkan sedia melakukan pelbagai pekerjaan termasuk pemandu peribadi bagi menambah pendapatan. – KOSMO! ONLINE