Sesi 30 minit uji gelanggang jadi penentu

3 weeks ago 15

PEMAIN-PEMAIN negara perlu memanfaatkan sepenuhnya tempoh 30 minit diperuntukkan bagi menguji gelanggang di Adidas Arena, Paris menjelang Kejohanan Badminton Dunia 2025 yang membuka tirainya esok.

Pengarah kejurulatihan beregu negara, Rexy Mainaky berkata, tempoh 30 minit bagi setiap pemain perseorangan dan beregu perlu digunakan sebaiknya bagi membolehkan mereka untuk menyesuaikan diri dengan keadaan gelanggang.

Jelasnya, sekiranya pemain-pemain mula menyesuaikan diri ketika kejohanan sudah bermula, ia mampu menjejaskan prestasi selain mengganggu fokus mereka untuk mempamerkan aksi terbaik.

“Apabila masuk ke gelanggang sebaik sahaja kejohanan bermula nanti, mereka tidak boleh lagi fikir mengenai adaptasi dengan gelanggang kerana ketika itu fokus hanyalah mendapatkan mata.

“Kesempatan 30 minit (uji gelanggang) mesti digunakan sebaiknya bagi menyesuaikan diri dengan keadaan gelanggang. Itu termasuk dari segi pergerakan angin serta gangguan lain,” katanya.

Sesi uji gelanggang dianggap cukup penting memandangkan sebahagian besar pemain negara, terutamanya beregu mendapat ‘bye’ ke pusingan kedua dan tidak akan bermain di pusingan pertama.

Ia akan memberi kelebihan kepada lawan yang akan ditemui di pusingan kedua nanti, namun Rexy percaya anak-anak buahnya sudah memiliki cara tersendiri bagaimana untuk menghadapi keadaan tersebut.

“Ia pasti akan memberi kesan tetapi pemain-pemain bertaraf dunia sudah ada pengalaman untuk menguruskan situasi sebegitu. Perkara ini bukan pertama kali terjadi, saya yakin mereka tahu untuk mengatasinya,” ujarnya.

Sebagai rekod, tiga beregu lelaki utama negara seperti Aaro Chia-Soh Wooi Yik, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani dan Man Wei Chong-Tee Kai Wun mendapat ‘bye’ ke pusingan kedua, begitu juga dua beregu wanita, Pearly Tan-M. Thinaah dan Go Pei Kee-Teoh Mei Xing. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |