SEJAK kes buli sehingga menyebabkan kematian Allahyarham Zara Qairina mendapat perhatian sehingga peringkat nasional, warga industri hiburan juga tidak ketinggalan bersuara menuntut keadilan.
Malah, dengan kesedaran tentang isu buli yang semakin meluas, ramai juga selebriti mula membuka ‘pekung’ bahawa mereka juga pernah menjadi mangsa buli dan penderaan.
Antara artis yang pernah mengaku dibuli ketika zaman persekolahan ialah Bella Astillah dan Yonnyboii. Aktres jelita Sophia Albarakbah pula membuat laporan polis kerana menjadi mangsa buli siber keterlaluan oleh netizen di media sosial.
Terbaharu, pelakon popular Diana Danielle mendedahkan pernah menjadi mangsa gangguan seksual oleh seorang kru produksi ketika berusia 15 tahun.
Isu buli, penderaan sama ada mental dan fizikal bukanlah satu isu yang baharu, malah turut berlaku kepada selebriti popular antarabangsa.
Jeon Somi
Penyanyi Korea Selatan ini pernah mahu melakukan pembedahan plastik ketika zaman persekolahannya untuk kelihatan lebih ‘Korea’ supaya tidak dibuli.
Menurut Somi yang berdarah campuran Korea dan Kanada, dia menerima layanan berbeza di sekolah dek rupanya yang kelihatan seperti anak patung.
“Saya telah dibuli selama tiga tahun. Adakalanya meja saya akan berada di dalam dewan, kad perpustakaan saya dikoyakkan dan kasut disumbat dengan sampah.
“Saya pernah merayu kepada ibu untuk melakukan pembedahan kosmetik supaya wajah kelihatan lebih mirip seperti orang Korea,” tuturnya.
Hrithik Roshan
Bintang terkenal Bollywood, aktor Hrithik Roshan pernah mendedahkan pengalaman traumanya akibat dibuli ketika zaman persekolahan.
“Ketika bersekolah saya rasa kehidupan ini tidak adil. Saya seorang pendiam dan pemalu serta menjadi mangsa buli.
“Saya langsung tidak mempunyai rakan baik dan selalu pulang dari sekolah dalam keadaan menangis. Zaman persekolahan saya sangat menyakitkan,” katanya.
Menambahkan lagi rasa kurang yakin diri apabila doktor mengatakan Hrithik tidak boleh menjadi seorang pelakon selepas disahkan mempunyai masalah tulang belakang dan tidak boleh menari.
Zhao Lusi
Bintang terkenal China, Zhao Lusi yang popular menerusi drama The Romance of Tiger dan Hidden Love mendedahkan dia didera secara fizikal dan lisan oleh agensi pengurusannya kerana gagal mendapatkan watak dalam drama.
Dakwa salah seorang rakan baiknya, Zhao Lusi dikurung berjam-jam di dalam bilik air sehingga pukul 2 pagi oleh ‘bos’ syarikat pengurusannya.
Semua gara-gara pelakon itu gagal mendapatkan tawaran lakonan. Majikannya dikatakan turut mengeluarkan kata-kata negatif termasuk Zhao Lusi berbadan gemuk.
Disebabkan itu, Zhao Lusi mengalami depresi yang teruk sehingga terpaksa dikejarkan ke hospital apabila dia hilang keupayaan untuk bertutur dan berjalan.
Fotonya yang kelihatan begitu kurus berkerusi roda menjadi viral sehingga menimbulkan kebimbangan dalam kalangan peminatnya.
Brooke Shields
Aktres terkenal Hollywood, Brooke Shields mula terjun dunia hiburan pada usia 11 bulan sebagai model dan membintangi filem pertama pada usia 11 tahun yang cukup kontroversi iaitu Pretty Baby.
Menerusi filem itu, Shields memegang watak sebagai pelacur kanak-kanak, namun kejadian tersebut membuat dirinya trauma apabila dirogol oleh seorang eksekutif Hollywood ketika berusia awal 20-an.
“Mulanya saya sangka akan diberi tawaran lakonan dan bersetuju untuk berjumpa dengannya, tetapi diserang secara seksual dan saya tidak mampu melakukan apa-apa.
“Saya mengambil masa yang lama untuk memproses apa yang berlaku. Saya sangat marah dengan diri sendiri kerana tidak berani untuk melawan pada waktu itu,” jelas Shields kepada majalah People.
Selena Gomez
Penyanyi dan pelakon terkenal Hollywood, Salena Gomez merupakan antara bintang yang paling berpengaruh di laman sosial Instagram dengan 417 juta pengikut.
Namun, penyanyi lagu Lose You to Love Me itu tidak suka menggunakan aplikasi Instagram kerana dia akan menjadi obses dengan komen negatif yang diterima.
“Kadang-kala saya tidak boleh elak, mereka (netizen) seolah-olah mahu saya mati,” katanya kepada New York Times.
Disebabkan itu, Selena jarang menggunakan Instagram demi mengelak kecaman berlebihan netizen.