Sempat beri pesanan bersolat sebelum meninggal dunia

3 weeks ago 11

KUALA LANGAT – “Abang sudah solat belum”. Itu kata terakhir Anuar Kamil, 44, sebelum anaknya, Muhamad Adib Anuar, 16, meninggal dunia selepas kereta dinaiki terbabas ke dalam parit di Jalan Sultan Sulaiman Shah, Banting di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3.50 pagi itu, turut maut di lokasi kejadian adalah adalah Hariz Nazri, 19 dan Muhamad Danish Shamsul Sharizan, 16 manakala Muhammad Danish Farhan Alias, 19, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Banting.

Dua lagi iaitu Daniel Iqkwan Jalaluddin, 15 dan Danish Haikal Nazri 17, yang cedera masih menerima rawatan di hospital sama.

Menurut Anuar yang merupakan pemandu peribadi, kali terakhir dia bertemu dengan arwah anaknya adalah di rumahnya di Batu 10, Kebun Baru kira-kira pukul 7.15 petang.

Katanya, dia kemudiannya memesan kepada anak sulung daripada tiga beradik itu supaya menunaikan solat maghrib sebelum keluar bermain sepak takraw.

“Selepas solat, saya lihat dia keluar dengan membawa stokin tanpa makan malam.

“Arwah memang memang aktif bermain sepak takraw dengan tiga kali seminggu,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Hospital Banting di sini, hari ini.

Bercerita lanjut, dia mengetahui anaknya mengalami kemalangan kira-kira pukul 6.45 pagi selepas dihubungi rakan anaknya.

“Selang 15 minit kemudiannya, saya dimaklumkan lagi bahawa anak telah meninggal dunia. Luluh hati saya.

“Sepatutnya, kami sekeluarga akan pergi bercuti di Perak pada minggu depan,” ujarnya.

Sementara itu, isterinya, Shaffiah Jemagin, 41, memaklumkan arwah Muhamad Adib ada memintanya sejumlah wang bagi tujuan barbeku bersama-sama rakannya.

“Saya hanya mampu berikan RM5 kepadanya dan wang itu masih tersimpan rapi dalam beg dompetnya.

“Memang amat sedih sebab dia anak yang baik dan rajin. Apa yang saya tahu dia adalah penumpang dalam kereta dan tercampak semasa kejadian itu,” ujarnya.

Jenazah Allahyarham Muhamad Adib dijangka akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Batu 10 Kebun Baru, Telok Panglima Garang. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |