SHAH ALAM – Tiada jawapan, penyanyi Datuk Nora Ariffin enggan membayangkan pengakhiran episod kemelut rumah tangganya dengan suami, Dr. Rushdi Ramli yang ketika ini di ambang perceraian.
Menurut Nora, 52, dia tidak mahu meletakkan sebarang harapan sebaliknya menyerahkan kepada pihak mahkamah untuk menentukan keputusan yang sepatutnya.
“Saya tidak tahu sama ada kemelut ini berakhir dengan perceraian atau sebaliknya, tak berani nak cakap. Saya hanya buat apa yang sepatutnya.
“Saya hanya serahkan kepada pihak mahkamah, apa yang penting saya hanya buat yang terbaik, sudah berdoa dan cuba usaha sebelum ini tetapi masih tiada jalan.
“Jadi perlu ada mahkamah yang akan menilai dan jadi pengadil,” katanya kepada Kosmo! Online selepas proses lantikan Jawatankuasa Pendamai (JKP) di Mahkamah Syariah Rendah Petaling, di sini, hari ini.
Dalam masa sama, Nora turut menegaskan dia dan Rushdi telah berusaha untuk menyelamatkan perkahwinan mereka sepanjang tempoh kemelut yang didakwa berpunca disebabkan campur tangan pihak ketiga.
“Sekarang saya hanya berserah sahaja kerana sudah buat apa patut mengikut prosedur, undang-undang dan kita ikut sahaja apa proses ditetapkan.
“Buat masa ini, saya tidak boleh terlalu emosi atau berlebihan dalam memberi komen. Sebagai manusia, saya dan suami sudah cuba sedaya upaya namun masih belum menemui titik penyelesaian.
“Disebabkan itu, kami hadir ke mahkamah untuk kemelut ini diselesaikan mengikut undang-undang syariah,” katanya lagi.
Sementara itu, peguam kepada Nora iaitu Siti Zulaika berkata, mahkamah hari ini menetapkan sebutan semula kes termasuk pembentangan keputusan laporan JKP pada 6 Ogos depan.
Hari ini, Nora melantik kakak angkatnya, Rafeah Ariffin untuk proses lantikan JKP manakala Rushdi pula memilih rakannya, Syamsul Omar.
Terdahulu, pada 21 April lalu, Nora hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Petaling bagi memfailkan permohonan perceraian selepas rumah tangga gagal menemui titik penyelesaian.
Sementara pada sebutan pertama 6 Mei lalu, Rushdi enggan melafazkan cerai terhadap Nora kerana mahu menyelamatkan rumah tangganya.
Katanya, dia masih menyayangi Nora bahkan tidak mahu perceraian berlaku kerana perkara tersebut ditegah dalam Islam.
Hujung 2021, Nora mengesahkan sudah bergelar isteri kepada Rushdi yang juga Pensyarah Kanan, Jabatan Fiqh dan Usul, Universiti Malaya.
Nora sebelum itu pernah mendirikan rumah tangga dengan komposer, Allahyarham Johan Nawawi pada 1992 dan dikurniakan empat cahaya mata.
Namun, Johan meninggal dunia pada 24 Mac 2017 pada usia 52 tahun akibat serangan jantung. – KOSMO! ONLINE