Saravanan diikat jamin RM450,000, tekad bersih nama

18 hours ago 8

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM1.09 juta berhubung kelulusan permohonan kuota pekerja asing, empat tahun lalu.

Bagaimanapun Saravanan, 58, yang juga Timbalan Presiden MIC itu mengaku tidak bersalah selepas ketiga-tiga pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim, Azura Alwi.

“Tidak mengaku bersalah,” kata Saravanan.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, Saravanan didakwa telah secara rasuah menerima wang tunai masing-masing RM150,000 dan RM350,000 daripada Pengarah Syarikat Vectica Resources Sdn. Bhd. Tan Teck Lim, 65,.

Bagi pertuduhan ketiga, Saravanan didakwa telah secara rasuah menerima wang RM597,000 daripada individu sama melalui sekeping cek bank yang didepositkan ke dalam akaun bank milik Big Seven Ventures Sdn. Bhd.

Suapan-suapan itu diterima menerusi seorang individu yang mana ia sebagai dorongan dan upah untuk tertuduh sebagai Menteri Sumber Manusia (ketika itu) memberikan kelulusan terhadap permohonan sebanyak 1,000 kuota pekerja asing bagi syarikat TYKB Engineering Sdn. Bhd.

Kesemua kesalahan itu dilakukan di Bukit Jalil Golf & Country Resorts, Jalan Telawi Bangsar dan sebuah cawangan bank di Jalan Klang Lama, di sini pada 16 Jun dan 7 Julai 2022.

Bagi ketiga-tiga kesalahan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan pemenjaraan tidak lebih 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Julaila Jamaluddin mencadangkan jaminan RM800,000 dengan berserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah, melapor diri di pejabat SPRM sekali setiap tiga bulan serta tidak mengganggu saksi-saksi.

“Jumlah ikat jamin yang dicadangkan adalah munasabah dan tidak keterlaluan memandangkan kesalahan adalah serius membabitkan RM1.09 juta,” kata Julalila yang turut bersama dengan seorang lagi Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Ahmad Akram Gharib.

Bagaimanapun Peguam, Datuk Geethan Ram Vincent yang mewakili tertuduh memohon mahkamah memberikan satu jumlah ikat jamin yang munasbah selain pasport tidak ditahan.

“Tertuduh telah memberikan kerjasama yang baik terhadap SPRM tanpa gagal, tiada suatu tertuduh memberi alasan berada diluar negara atau berada ditempat lain apabila dipanggil. Beliau juga nekad untuk membersihkan nama dan hari ini beliau sendiri telah hadir ke mahkamah dan ini membuktikan komitmen beliau menghadapi pertuduhan. Namun demikian bagi isu syarat tambahan pasport, pihak kami mohon ia tidak dikenakan.

“Ini kerana anak guam saya ada mendapatkan rawatan di sebuah hospital di Chennai, India selain beliau turut pengerusi beberapa yayasan dan sering dijemput ke luar negara,” kata peguam itu.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak, Hakim Azura kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM450,000 berserta syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri di pejabat SPRM berhampiran tempat tinggal tiga bulan sekali dan dilarang mengganggu saksi pendakwaan.

Mahkamah kemudian menetapkan 29 September ini bagi sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |