JBPM sedia digerakkan bila-bila masa ke Nepal

18 hours ago 8

PUTRAJAYA – Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) bersedia pada bila-bila masa untuk menggerakkan pasukan khas mereka ke Nepal bagi membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR) di negara itu sekiranya menerima arahan daripada kerajaan.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Nor Hisham Mohammad berkata, pihaknya telah membuat persiapan awal termasuk mengenal pasti anggota dan melengkapkan dokumentasi yang diperlukan bagi membolehkan pasukan digerakkan.

Beliau berkata, penglibatan pasukan Malaysia bagaimanapun tertakluk kepada permohonan rasmi daripada kerajaan Nepal serta arahan yang diselaraskan oleh Wisma Putra dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).

“Buat masa ini, kita bersedia untuk menghantar pasukan jika ada pengarahan dan permohonan daripada kerajaan Nepal.

“Jika mendapat arahan daripada Wisma Putra dan koordinasi daripada Nadma, kita akan sediakan pasukan terbaik untuk ke Nepal,” katanya ketika ditemui selepas meninjau persiapan sambutan Hari Kebangsaan 2026 di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kemungkinan penghantaran pasukan bantuan Malaysia ke Nepal susulan bencana yang berlaku di negara berkenaan.

Katanya, JBPM telah mengenal pasti anggota daripada Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas yang mempunyai kemahiran serta pengalaman dalam operasi bencana di luar negara.

Nor Hisham berkata, pihaknya telah menyediakan dokumentasi awal bagi setiap anggota yang berpotensi dihantar supaya proses mobilisasi dapat dilakukan dengan cepat

Menurutnya, pengalaman mengendalikan misi bantuan kemanusiaan dan SAR di Turkiye sebelum ini membolehkan JBPM mengekalkan tahap kesiapsiagaan yang tinggi bagi menghadapi sebarang penugasan antarabangsa.

“Sekiranya arahan dikeluarkan, pasukan terbabit boleh digerakkan dalam tempoh singkat tanpa mengira notis yang diberikan. Ada pengarahan, walaupun secara short notice (notis pendek), kita bersedia untuk digerakkan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |