KUANTAN – Lima ahli Geng Lakino Garuda yang terlibat dalam kegiatan mencuri kabel solar dan komponen komunikasi di empat negeri termasuk negeri ini didakwa di Mahkamah Majistret Kuantan, di sini hari ini.
Tertuduh, Teo Sun Wei, 36, merupakan rakyat tempatan, manakala empat yang lain iaitu Roy Padri, 26, Sare Tamanto, 35, Larino, 41, dan Supono, 56, merupakan warga Indonesia.
Kesemua tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Tuan Ruzuaini Tuan Lah.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh secara bersama didapati telah memiliki harta curi iaitu tujuh gulung kabel kepunyaan RE Gebeng Sdn. Bhd.
Kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 4.30 petang di kawasan semak di tepi pagar kawasan projek solar di negeri ini pada 28 Jun lalu.
Kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Sementara itu, keempat-empat tertuduh warga asing itu juga turut berdepan tuduhan mengikut Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) (Pindaan 2002) kerana memasuki negara ini tanpa permit sah.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Najmi Zaki Amer Suhaimi sementara tertuduh warga tempatan diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Tok Hong Chen manakala empat tertuduh warga asing diwakili peguam, Azrul Hakimi Ramli.
Dalam prosiding Muhammad Najmi meminta mahkamah mengenakan jaminan sebanyak RM7,000 kepada tertuduh Sun Wei manakala tiada jaminan ditawarkan kepada empat tertuduh lain memandangkan mereka merupakan warga asing tanpa permit sah.
Hong Cheng kemudian meminta mahkamah menawarkan jaminan rendah memandangkan anak guamnya masih menanggung ibunya yang uzur dengan pendapatan RM1,500 sebulan.
Tuan Ruzuaini kemudiannya membenarkan jaminan sebanyak RM4,500 kepada Sun Wei manakala tiada jaminan ditawarkan kepada empat tertuduh lain.
Mahkamah menetapkan kes akan disebut semula pada 1 Oktober depan.
Sebelum ini media melaporkan polis berjaya menumpaskan sindiket dikenali sebagai Geng Lakino Garuda yang dipercayai terlibat dalam siri kecurian kabel solar dan komponen telekomunikasi di sekitar negeri ini membabitkan kerugian RM 912,000.
Sindiket itu dipercayai terlibat dalam 21 kes yang dilaporkan antara Februari hingga Jun lalu melibatkan lima kes di Pahang, lapan kes di Perak, lima kes di Negeri Sembilan dan tiga kes di Terengganu. – KOSMO! ONLINE

14 hours ago
7

































![[VIDEO] ‘Rehatlah Nurfisya, kau dah bahagia di tempat tiada air mata’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/05/0730d2ac-3c53-4ff9-bbf6-fe7478da8c6b.jpeg)














