KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan menggesa kes rasuah melibatkannya diselesaikan segera tanpa dibiarkan berlarutan sehingga menjejaskan nama baik serta kedudukannya sebagai wakil rakyat.
Katanya, beliau bersedia memberikan kerjasama penuh sepanjang proses mahkamah dan berharap perbicaraan dapat dijalankan tanpa kelewatan yang tidak perlu.
“Saya bersedia untuk menghadapi proses mahkamah. Saya juga bersedia memberikan kerjasama. Cuma, percepatkan kes ini.
“Jangan buat kes ini macam kes-kes lain. Saya minta kalau betul-betul kerajaan ikhlas nak tuduh saya, cepatkan kes ini. Jangan gunakan taktik tangguh untuk burukkan nama saya,” katanya ketika sidang akhbar selepas selesai prosiding kes.
Sebelum ini, Saravanan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah hampir RM1.1 juta, empat tahun lalu namun dilepaskan dengan jaminan sebanyak RM450,000.
Sementara itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Tapah itu mengakui terkejut dengan pertuduhan yang disifatkan sebagai satu tuduhan liar, namun enggan mengulas lanjut kerana perkara itu akan dibicarakan di mahkamah.
“Saya anggap ini satu tuduhan liar terhadap saya. Jangan gunakan taktik macam ini untuk jatuhkan seorang ahli politik. Saya pun ada keluarga. Ini bukan cara kalau nak jatuhkan saya.
“Saya langsung tak rasa malu dengan tuduhan ini. Hari ini saya tak boleh sebut tapi apabila kes dibicara di mahkamah, fakta akan keluar,” katanya.
Dalam pada itu, Saravanan mengesahkan ada berhubung dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai perkara berkenaan sejak beberapa bulan lalu.
Namun, beliau yang juga Timbalan Presiden MIC menegaskan komunikasi itu bukan bertujuan meminta campur tangan, sebaliknya mahu perkara berkenaan diteliti dan disiasat secara telus. – KOSMO! ONLINE

15 hours ago
7

































![[VIDEO] ‘Rehatlah Nurfisya, kau dah bahagia di tempat tiada air mata’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/05/0730d2ac-3c53-4ff9-bbf6-fe7478da8c6b.jpeg)














