KOTA BHARU – Kelantan City FC tidak mahu terburu-buru mengejar slot ke Liga Super, sebaliknya memilih untuk bermula daripada bawah dengan memperkasakan pasukan sehingga benar-benar bersedia untuk bersaing di pentas elit arena bola sepak tempatan.
Presidennya, Tan Sri Annuar Musa berkata, beliau mahu melihat Kelantan City FC memperkukuhkan kedudukan dalam Liga A1 Semi Pro lebih dahulu dan membina nama sebagai sebuah pasukan yang disegani.
Menurutnya, beliau perlu meletakkan satu penanda aras yang tinggi kepada pasukan, termasuk sekurang-kurangnya berada pada kedudukan dua pasukan terbaik dalam carta liga.
“Saya sangat ‘ambitious‘ dalam bola sepak berbanding sebelum ini. Saya mahu ‘the top two’ dengan kalahkan Johor Darul Ta’zim II dan Selangor FC II. Itu penanda aras kita dalam Liga A1.
“Kedua-dua pasukan itu adalah feeder team yang memiliki ramai pemain bertaraf Liga Super dan diakui kekuatannya. Selalunya, kita kalahkan kepada mereka,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Jersi Kelantan City FC, malam tadi.
Beliau menegaskan, melalui pelan tiga tahun yang ditetapkan, Kelantan City FC akan bersaing dalam Liga A1 bagi tempoh maksimum dua musim sekali gus memastikan pasukan benar-benar bersedia daripada semua sudut sebelum melangkah ke Liga Super.
Sementara itu, Ketua Jurulatih Kelantan City FC, Alfredo Gonzalez berkata, mentaliti mahu menang merupakan kunci utama untuk bersaing dalam perlawanan kompetitif, lebih-lebih lagi ketika berdepan antara pasukan terbaik dalam arena bola sepak tempatan.
Menurutnya, langkah pertama adalah mempersiapkan barisan pemain dengan kekuatan mentaliti yang boleh mendorong mereka untuk terus berjuang mencari kemenangan.
“Ia adalah soal mentaliti dan peluang. Jika berasa gusar mahu berdepan pasukan kuat seperti Johor Darul Ta’zim, lebih baik jangan lawan dan duduk di rumah sahaja.
“Jika anda fikir mereka kuat, mereka jadi kuat. Di padang, ia adalah mengenai 11 pemain menentang 11 pemain lain,” katanya. – KOSMO! ONLINE

1 day ago
14

































![[VIDEO] ‘Rehatlah Nurfisya, kau dah bahagia di tempat tiada air mata’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/05/0730d2ac-3c53-4ff9-bbf6-fe7478da8c6b.jpeg)














