KUALA LUMPUR – Sebanyak 23 kenderaan mewah dan berprestasi tinggi disita Jabatan Pengangkutan Jalan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPJ WPKL) dalam Operasi Khas Luxury selama tiga hari dari 25 Ogos sehingga semalam.
Pengarah JPJ WPKL, Hamidi Adam berkata, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap pemilik atau pengguna kenderaan yang gagal mematuhi undang-undang.
“Nilai, jenama, harga atau status sesebuah kenderaan tidak pernah dan tidak akan menjadi pengecualian daripada tindakan penguatkuasaan. Sama ada kenderaan berharga puluhan ribu atau berjuta ringgit, undang-undang tetap terpakai,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, sepanjang operasi itu, sebanyak 73 notis kesalahan dikeluarkan membabitkan 39 kes Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh, 30 kes tiada perlindungan insurans, tiga kes tiada Lesen Memandu Kompeten (CDL) dan satu kes mempamerkan nombor pendaftaran kenderaan lain.
Katanya, antara kenderaan disita ialah Honda Civic Type R yang dipandu seorang warga Rohingya selepas dikesan bergerak secara berkonvoi bersama beberapa kenderaan lain di Plaza Tol SPE. Pemeriksaan mendapati pemandu berkenaan tidak memiliki lesen memandu yang sah.
“Kenderaan lain yang disita termasuk Ferrari F8, Porsche Macan, Land Rover Range Rover Sport, BMW, Mercedes-Benz, Audi, Volvo dan Toyota Alphard. Kesemua 23 kenderaan disita di bawah Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, menjadikan jumlah keseluruhan notis sepanjang operasi itu sebanyak 96 notis,” katanya.
Tambah beliau, bagi keseluruhan Operasi Khas Luxury sepanjang 2026 sehingga 28 Ogos, sebanyak 179 kenderaan telah disita, manakala 393 notis P22 dikeluarkan membabitkan 209 kes LKM tamat tempoh, 158 kes tiada perlindungan insurans, 21 kes tiada CDL dan lima kes lain-lain kesalahan.
Selain itu, sebanyak 179 notis penyitaan di bawah Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dikeluarkan, menjadikan jumlah keseluruhan 572 notis sepanjang pelaksanaan operasi berkenaan tahun ini.
“Mana-mana pihak yang menggunakan kenderaan di jalan raya tanpa LKM yang sah, tanpa perlindungan insurans, tanpa lesen memandu yang sah atau melakukan kesalahan lain di bawah peruntukan undang-undang akan berdepan tindakan tegas tanpa kompromi,” katanya. – KOSMO! ONLINE

10 hours ago
7

































![[VIDEO] ‘Rehatlah Nurfisya, kau dah bahagia di tempat tiada air mata’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/05/0730d2ac-3c53-4ff9-bbf6-fe7478da8c6b.jpeg)














