‘Pen kurus’ Reta belum diluluskan, 209 iklan diturunkan

7 hours ago 6

PETALING JAYA – Sebanyak 209 iklan produk penurunan berat badan termasuk produk yang didakwa mengandungi Retatrutide atau ‘Reta’ diturunkan daripada platform e-dagang sepanjang tahun ini.

Kementerian Kesihatan (KKM) berkata, sehingga 17 Ogos lalu, belum ada produk mengandungi Retatrutide berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) untuk digunakan di Malaysia.

Menurutnya, Retatrutide merupakan ubat penyiasatan yang masih menjalani kajian klinikal Fasa 3 dan belum mendapat kelulusan pemasaran daripada mana-mana pihak berkuasa regulatori di dunia.

“KKM memandang serius pengiklanan dan penjualan produk penurunan berat badan secara dalam talian termasuk produk yang didakwa mengandungi Retatrutide atau ‘Reta’ serta ubat suntikan lain yang ditawarkan kepada orang awam tanpa pemeriksaan, preskripsi dan pemantauan pengamal perubatan berdaftar.

“Penggunaan produk atau ubat sedemikian tanpa penilaian dan pemantauan perubatan sewajarnya boleh menyebabkan kesan advers serta komplikasi serius,” katanya dalam kenyataan hari ini.

KKM berkata, Bahagian Penguatkuasaan Farmasi menerima sebanyak 65 aduan berkaitan produk penurunan berat badan bagi tempoh Januari hingga Julai lalu.
Dalam tempoh sama, sebanyak 30 serbuan dilaksanakan termasuk 17 serbuan berkaitan penjualan dalam talian dengan nilai rampasan keseluruhan RM477,142.

Selain 209 iklan yang diturunkan daripada platform e-dagang, sebanyak 1,243 iklan di pelbagai saluran media turut dikenal pasti, disaring dan diambil tindakan sewajarnya.

Sehubungan itu, KKM menasihatkan orang ramai supaya tidak membeli atau menggunakan produk yang didakwa mengandungi Retatrutide, ‘Reta’ atau produk penurunan berat badan daripada sumber tidak sah.

Orang ramai juga diingatkan supaya tidak mudah terpedaya dengan iklan, testimoni, dakwaan mampu menurunkan berat badan secara cepat dan drastik atau produk yang dijual pada harga terlalu murah.

KKM berkata, penjualan ubat tidak berdaftar merupakan kesalahan di bawah Akta Jualan Dadah 1952 dan jika sabit kesalahan, pihak terlibat boleh didenda sehingga RM50,000 bagi kesalahan pertama dan RM100,000 bagi kesalahan berikutnya. – KOSMO!

Read Entire Article
Pertanian | | | |