Barang dijual dalam talian mesti sama seperti diiklankan – Fuziah

10 hours ago 8

PETALING JAYA – Barang yang dijual menerusi platform e-dagang perlu menepati maklumat dan spesifikasi seperti diiklankan sebagaimana pengguna berhak mendapat sukatan tepat ketika membeli barangan secara fizikal.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Dr. Fuziah Salleh berkata, prinsip perlindungan pengguna tidak seharusnya berubah meskipun corak pembelian masyarakat kini semakin beralih ke platform digital.

Menurutnya, jika pengguna membeli ayam seberat satu kilogram (kg) di pasar, alat timbang digunakan perlu melalui proses penentusahan bagi memastikan berat tersebut benar-benar tepat.

“Kalau di pasar kita pastikan 1kg benar-benar 1kg, dalam e-dagang kita juga perlu pastikan apa yang diiklankan benar-benar sama dengan apa yang pengguna terima.

“Dalam e-dagang, kita mungkin tidak melihat atau menyentuh barang terlebih dahulu. Kita membuat keputusan berdasarkan gambar, deskripsi produk, kuantiti, spesifikasi, harga dan maklumat yang dipaparkan di platform,” katanya

menerusi hantaran di laman Facebook hari ini. Fuziah berkata, perkara itu antara aspek penting yang perlu diberikan perhatian dalam kerangka Akta E-Dagang bagi memastikan perlindungan sewajarnya kepada pengguna.

Katanya, tanggungjawab terhadap ketepatan maklumat produk, penjual dan platform perlu diperjelaskan selain menyediakan mekanisme lebih berkesan sekiranya berlaku masalah dalam urus niaga.

Ia termasuk keadaan apabila barangan yang dibeli tidak sampai, berbeza daripada apa yang dijanjikan atau mendatangkan risiko kepada pengguna.

“Pasar dalam talian juga sememangnya berada dalam ruang naziran dan pematuhan perlindungan pengguna KPDN.

“Bagi saya, Akta E-Dagang bukan sekadar soal mengawal platform, sebaliknya ia membina keyakinan pengguna dalam dunia perdagangan yang semakin digital.

“Cara kita membeli mungkin berubah, tetapi hak kita sebagai pengguna tetap utuh dan tidak berubah,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |