KUALA LUMPUR – Sebanyak 24 lombong haram dikesan menerusi Op Gali Mega yang dilaksanakan di 45 lokasi melibatkan 10 negeri, dengan nilai keseluruhan rampasan mencecah hampir RM119 juta.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, operasi bersepadu yang berlangsung dari 19 hingga 23 Ogos lalu itu turut membawa kepada penahanan 99 individu atas pelbagai kesalahan.
Menurut beliau, daripada jumlah tersebut, seramai 61 merupakan warganegara manakala 38 lagi pendatang asing tanpa izin (PATI).
“Sebanyak 45 lokasi perlombongan telah diperiksa dalam operasi ini dan hasil pemeriksaan mendapati sebanyak 24 lombong haram dikesan, manakala 21 lombong mempunyai lesen perlombongan yang sah,” katanya ketika sidang akhbar hari ini.
Beliau berkata, operasi itu membabitkan kekuatan seramai 728 pegawai dan anggota, terdiri daripada PDRM serta sembilan agensi penguat kuasa dalam operasi bersepadu antara agensi.
Katanya, sebanyak 43 kesalahan dikesan melibatkan 14 peruntukan undang-undang, masing-masing tujuh di bawah bidang kuasa kerajaan negeri dan tujuh lagi di bawah peruntukan undang-undang Persekutuan.
“Jumlah nilai rampasan yang berjaya dilaksanakan dalam Op Gali Mega adalah hampir RM119 juta,” ujarnya.
Antara rampasan terbabit termasuk 33,000 tan hasil bumi bernilai hampir RM21 juta, 55 kenderaan bernilai hampir RM14 juta, 87 jentera berat bernilai hampir RM38.7 juta serta 194 peralatan perlombongan bernilai hampir RM44.3 juta.
Mohd. Yusri berkata, hasil bumi yang dirampas antaranya termasuk kaolin sebanyak 100 tan bernilai hampir RM60,000, arang batu sebanyak 8,500 tan bernilai RM4.2 juta, kuari batu atau tanah sebanyak 313,500 tan bernilai RM12 juta serta pasir sebanyak 9,000 tan bernilai RM45 juta.
Beliau berkata, operasi itu turut mengenal pasti 32 individu dan 21 syarikat yang dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti perlombongan berkenaan.
“Senarai individu dan syarikat terlibat telah diserahkan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk tindakan siasatan bagi mengesan kemungkinan berlaku ketirisan cukai,” katanya.
Menurut beliau, pihaknya tidak menolak kemungkinan wujud rangkaian antara aktiviti perlombongan haram di beberapa negeri, namun perkara itu masih dalam siasatan.
Beliau berkata, terdapat lombong haram yang dipercayai telah beroperasi dalam tempoh antara tiga hingga lima tahun, namun tempoh sebenar setiap operasi hanya dapat ditentukan selepas siasatan lengkap.
Sabah merekodkan jumlah pemeriksaan tertinggi dengan 14 lokasi, diikuti Sarawak (tujuh), Pahang (enam), Selangor (empat), Terengganu dan Perak masing-masing tiga, Kelantan dan Kedah masing-masing dua manakala Johor satu.
Mohd. Yusri berkata, aktiviti perlombongan tanpa mematuhi prosedur bukan sahaja menyebabkan ketirisan hasil negara, malah berisiko menjejaskan alam sekitar termasuk menyumbang kepada kejadian banjir lumpur dan tanah runtuh.
“Kalau tidak mematuhi segala peraturan memang ada risiko alam sekitar, termasuk kepada kawasan tadahan hujan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

1 day ago
16

































![[VIDEO] ‘Rehatlah Nurfisya, kau dah bahagia di tempat tiada air mata’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/05/0730d2ac-3c53-4ff9-bbf6-fe7478da8c6b.jpeg)














