Santuni kanak-kanak, RMHC kutip RM430,000 di acara golf amal

6 hours ago 3

PETALING JAYA – Bagi kanak-kanak dan keluarga yang disantuni oleh Persatuan Kebajikan Ronald McDonald (RMHC) Malaysia, Kejohanan Golf Amal kali ke-32 ini bukan sekadar acara sehari di padang, tetapi sebuah talian hayat.

Berlangsung di Tropicana Golf & Country Resort, kejohanan ini berjaya menghimpunkan 118 pemain golf dan 45 penaja, dengan matlamat untuk meraih kutipan kasar sejumlah RM604,000 dan mencapai jumlah bersih RM430,000. Dana ini akan dimanfaatkan untuk menggerakkan misi RMHC Malaysia dalam meningkatkan kesihatan, pendidikan, dan kebajikan kanak-kanak kurang berkemampuan di seluruh negara.

Hasil kutipan akan disalurkan kepada empat program teras RMHC Malaysia, iaitu:

  • Rumah Ronald McDonald – menyediakan penginapan sementara kepada keluarga yang anaknya menerima rawatan di hospital. Empat buah rumah Ronald McDonald terletak berhampiran hospital, membantu keluarga menjimatkan kos penginapan dan sentiasa berada di sisi anak mereka sepanjang tempoh rawatan kritikal.
  • Bilik Terapi Sensori Ronald McDonald – menawarkan ruang terapi untuk kanak-kanak berkeperluan khas dengan masalah perkembangan. Kanak-kanak autisme, ADHD, dan gangguan deria kini dapat membangunkan kemahiran asas yang diperlukan dalam persekitaran yang selamat dan menyokong.
  • Program Anugerah Senyuman – membiayai pembedahan sumbing bibir dan lelangit untuk kanak-kanak memerlukan. Program ini bukan sahaja mengembalikan senyuman, malah keyakinan diri, keupayaan bertutur, serta kebolehan bersosial.
  • Program Pek Kembali ke Sekolah – membekalkan keperluan asas persekolahan seperti pakaian seragam dan perkakasan sekolah kepada kanak-kanak kurang berkemampuan, justeru mengurangkan beban kewangan keluarga dan membangkitkan semangat untuk hadir ke sekolah.

Selain menyokong program-program tersebut, RMHC Malaysia turut menyampaikan Geran Perubatan berjumlah RM300,000 kepada enam organisasi kebajikan di seluruh negara, Termasuklah Yayasan IJN, Persatuan Kebajikan Pesakit Kanak-Kanak Hospital USM (PEKA), Tabung Kebajikan Pesakit HPKK UKM, Tabung Kebajikan Perubatan Malaysia Hospital Tunku Azizah, PPUMCare dan Tabung Kebajikan Perubatan Malaysia HWKKS.

Presiden RMHC Malaysia merangkap Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia, Datuk Haji Azmir Jaafar, merakamkan penghargaan kepada semua penaja, rakan kerjasama, dan peserta:

“Kejohanan Golf Amal ini bukan sekadar acara sukan, ia adalah talian hayat bagi kanak-kanak dan keluarga yang kami santuni. Sokongan luar biasa tahun ini membolehkan kami terus menyediakan perkhidmatan penting yang memudahkan penyampaian, mengukuhkan hubungan keluarga, dan menggalakkan penyembuhan.

Setiap ringgit yang disumbangkan membawa makna kepada setiap kanak-kanak dan keprihatinan yang kita lihat ini adalah sebuah semangat untuk keluarga yang berharap. Saya menyeru kepada orang ramai, rakan-rakan korporat, serta semua lapisan komuniti untuk bersama-sama dalam misi ini. Setiap sumbangan, besar mahupun kecil, membawa kita lebih dekat kepada visi memastikan setiap kanak-kanak mempunyai peluang untuk masa depan yang sihat dan penuh harapan,” kata Dato’ Azmir.

Sejak ditubuhkan pada tahun 1990, RMHC Malaysia telah menyalurkan lebih RM60 juta untuk program-program yang memberi manfaat kepada lebih 200,000 kanak-kanak dalam bidang kesihatan, pendidikan, dan kebajikan. Selama 34 tahun, RMHC Malaysia kekal komited untuk membangunkan, menerokai, dan menyokong program yang terus meningkatkan kesihatan serta kesejahteraan kanak-kanak kurang berkemampuan di Malaysia. – KOSMO! ONLINE

Geran perubatan berjumlah RM300,000 disalurkan kepada enam organisasi untuk meningkatkan akses penjagaan kesihatan bagi kanak-kanak yang memerlukan
Read Entire Article
Pertanian | | | |