Sambung lagi cuti, malas hadap sesak balik KL

4 hours ago 1

PETALING JAYA – Fenomena ‘sambung lagi cuti’ kembali menjadi bualan hangat apabila ramai pengguna jalan raya memilih untuk melanjutkan percutian hujung minggu sempena cuti umum Hari Malaysia, berbanding terburu-buru pulang ke ibu kota.

Seorang pengguna Facebook, Khalis memuat naik hantaran bertanya perantau Pantai Timur bagaimana keadaan mereka selepas menempuh kesesakan yang panjang untuk pulang ke Kuala Lumpur semalam.

“Dengar cerita ada yang memandu 21 jam, okey ka anak perantau? Kawe sambung terus cuti sampai Sabtu, nasib baik bos lulus. Lega doh, tok payoh hadap jem balik dari Ganu,” katanya.

“Malas hadap sesak, terus singgah Cameron Highland ‘check in’ dua hari satu malam balik dari Pulau Pinang semalam. Petang ini baru sambung perjalanan balik KL (Kuala Lumpur). Tambah sehari cuti, harap tenang sikit jalan,” kata Mohd Faizal.

Seorang lagi perantau dari Kelantan, Nurul Ain berkata, keputusan untuk bekerja dari jarak jauh hari ini membolehkan dia dan suami melanjutkan cuti tanpa bimbang berdepan kesesakan menuju ibu kota.

“Sekarang banyak kerja boleh selesai secara online. Jadi kami sambung cuti sehari dua, esok baru balik. Jimat masa dan tenaga. Kalau semalam redah juga balik Ampang, mahu kematu duduk lama,” katanya.

Dengan cuti sekolah yang masih berbaki hujung minggu ini, ramai menjangkakan trafik pulang ke ibu kota hanya akan benar-benar kembali normal menjelang pertengahan minggu.

Sementara itu, menerusi tinjauan di televisyen litar tertutup (CCTV) serta laman rasmi Lembaga Lebuhraya (LLM), aliran kenderaan di Lebuh Raya Utara-Selatan bagi kedua-dua arah dilaporkan perlahan di beberapa laluan utama.

“Trafik arah utara perlahan dari Seremban ke Nilai (Kesan kemalangan di Kilometer (KM) 273.4 utara), Nilai (Utara) ke Bangi, selepas Plaza Tol Sungai Besi ke Pusat Bandar.

“Arah selatan pula membabitkan laluan Sedenak ke Kulai, Setia Tropika ke Pasir Gudang, Permatang Pauh ke Perai, Terowong Meru ke Ipoh (Utara) dan Rawang ke Bukit Lanjan,” lapor LLM.

Selain itu, aliran trafik di Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak serta Lebuh Raya Pantai Timur masih lagi terkawal pada pagi ini. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |