
- Oleh MOHD. FAHMI ISMAIL
- 24 Ogos 2025, 11:03 am
PETALING JAYA – Seorang remaja perempuan berusia 14 tahun dilaporkan hilang selepas kali terakhir dilihat di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seksyen 8, Kota Damansara, di sini pada Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja’afar berkata, pihaknya menerima laporan kehilangan mangsa dikenali sebagai Varsha Arumugam kira-kira pukul 7.18 malam pada Jumaat.
“Mangsa kali terakhir dilihat sekitar pukul 3 petang di kawasan PPR Seksyen 8. Usaha mengesan remaja terbabit sedang giat dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kehilangan remaja terbabit diminta tampil membantu siasatan.
“Mereka boleh menyalurkan maklumat dengan menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di talian 03-79662222 atau menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Irfan Emir Mohd. Alwi di talian 016-5379507,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE