Pukul 6.15 pagi dah sesak, warga Rawang ok ke?

19 hours ago 9

PETALING JAYA – Hari pertama persekolahan selepas cuti Tahun Baharu Cina yang turut jatuh pada hari kelima Ramadan menyaksikan warga Rawang dan Puncak Alam berdepan kesesakan luar biasa di Lebuh Raya Utara-Selatan pagi tadi.

Situasi itu berlaku seawal pukul 6.15 pagi, ketika kebanyakan pengguna lebuh raya keluar rumah sejurus selepas waktu subuh bagi menuju ke tempat kerja dan menghantar anak ke sekolah.

Rata-rata pengguna lebuh raya memuat naik gambar di media sosial memaparkan kenderaan bergerak perlahan menghampiri Plaza Tol Rawang Selatan dengan barisan panjang dilihat di semua lorong, termasuk laluan keluar tol.

Menurut @Mussudin, kesesakan teruk dikatakan bermula dari Kundang sehingga ke Gamuda Gardens.

“Bertabahlah warga Rawang, Puncak Alam. Rutin kita kembali seperti biasa. Tapi beratur kereta dari Kundang tadi, panjang dah sampai Gamuda Gardens. Kalau naik kereta, memang dah ‘tuang’ hari ini,” katanya.

Difahamkan, perubahan rutin sepanjang Ramadan menyebabkan ramai pengguna keluar rumah sejurus selepas waktu Subuh bagi mengelakkan cuaca panas serta mengejar waktu kerja dan sesi persekolahan.

Peralihan waktu tersebut dipercayai menyumbang kepada pertambahan trafik mendadak pada awal pagi berbanding hari biasa.

“Yang nak keluar tol rawang masing masing ok ke tu? Panjang barisan. Nak kena keluar rumah pukul 4 pagi ke macam mana,” komen @Krdfx79 juga.

Sementara itu seorang lagi pengguna turut mempersoalkan kelewatan pembukaan laluan tambahan SmartTAG di Tol Rawang Selatan yang lazimnya dibuka sekitar pukul 6 hingga 6.30 pagi.

“Bulan Ramadan ini tolonglah buka laluan tambahan lebih awal. Pukul 6.15 pagi dah sesak teruk, tapi hari ini lambat beroperasi atas sebab yang tak diketahui,” komen @Yadh85.

“Bulan puasa semua akan bergegas keluar dari rumah selepas subuh. Seperti kebiasaan, laluan tambahan dibuka sekitar 6 pagi hingga 6.30 pagi. Hari ini lambat beroperasi atas sebab yang tidak diketahui. Bayangkan dari 6.30 pagi sampai 7.10 pagi sekat sebelum tol,” komen @MedeyDasuki juga. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |