Pok Mie bermadu, netizen yang panas

15 hours ago 6

PETALING JAYA – Seorang lelaki mencuri perhatian netizen selepas berkongsi detik istimewa menyambut ulang tahun perkahwinan bersama isteri pertama sambil melangsungkan pernikahan dengan isteri kedua, dalam satu majlis yang disambut secara bersama.

Menerusi satu hantaran yang dimuat naik oleh Pok Mie di akaun TikToknya, kelihatan dia bersama kedua-dua isteri hadir dalam suasana harmoni sepanjang majlis berlangsung.

Apa yang lebih menarik perhatian adalah hubungan baik antara kedua-dua isteri, apabila mereka kelihatan mesra dan akrab dalam gambar-gambar yang dikongsikan, menandakan perkahwinan itu direstui oleh isteri pertama.

Pok Mie turut menzahirkan penghargaan kepada isteri pertamanya atas kesanggupan untuk bermadu, selain menasihati isteri keduanya agar sentiasa menghormati dan mengutamakan madunya itu.

“Terima kasih cinta hati abang (isteri pertama). Saya betul-betul insan terpilih. Semoga Allah SWT terus memelihara hati sayang sehingga ke syurga.

“Terima juga buat isteri keduaku. Saya harap awak ingat awak perlu utamakan Kak Nie (isteri pertama), baru awak utamakan abang (suami). Buat kedua-duanya terima kasih atas kesudian hadir dalam hidup abang,” ujar lelaki tersebut pada ruangan komen.

Tinjauan Kosmo! di ruangan komen mempersoalkan keputusan lelaki tersebut untuk berpoligami, selain menyuarakan empati terhadap isteri pertamanya yang mungkin menyembunyikan kesedihan di sebalik senyuman itu.

“Abang nampak sahaja bini abang bahagia tetapi sebenarnya dalam hati hanya tuhan sahaja yang tahu betapa sedih dan pilunya isteri pertama,” komen Natasha.

“Mantap bang tapi itulah seorang isteri mana suka dimadukan namun dia redha dan ikhlaskan sahaja apa yang sudah terjadi. Mungkin nampak dia senyum tapi di dalam hati terpukul rasa sakit itu,” balas Bunga95.

Sementara itu, turut mendoakan agar keluarga itu terus diberkati dan berharap si suami mampu berlaku adil terhadap kedua-dua isterinya.

“Walaupun saya tidak suka dan tidak mahu bermadu, tapi saya suka tengok keluarga poligami yang akur dan suami yang adil macam ini. Siapa kita mahu menidakkan takdir. Semoga dipermudahkan urusan isteri-isteri tuan,” kata LinaNL.

“Tahniah bang dan semoga ketiga-tiganya ikhlas berkasih sayang satu sama lain, Insya-Allah dapat berlaku adil juga,” ujar Azlina. -KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |