SEBERANG PERAI – Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) dijangka membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) perlindungan untuk faedah di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sehingga 24 jam kepada semua pekerja, tahun ini.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, dasar bagi pindaan RUU tersebut sudahpun diluluskan di peringkat Kabinet dan kini dirancang untuk dibentangkan di parlimen nanti.
“Kita juga nampak satu kelompangan di mana dalam Malaysia ini hanya 40 peratus sahaja yang ada dilindungi di bawah insurans swasta.
“Jadi, memang ada satu keperluan khususnya untuk memastikan golongan pekerja kita mendapat perlindungan yang menyeluruh dan secukupnya.
“Dah banyak tahun diperjuangkan dan syukur dasar ini telahpun diluluskan oleh Kabinet dan kita tengah dalam perancangan untuk merangka ataupun mengarang RUU pindaan. Selepas ini, ia akan memberikan perlindungan yang saya sebut sebagai 24 jam lah, lebih menyeluruh termasuk di luar waktu kerja,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir pada Hari Perhimpunan Kesatuan Sekerja 2025 di Bertam, Kepala Batas di sini, hari ini.
Beliau memberitahu, RUU perlindungan Perkeso itu penting bagi memastikan warga kerja di negara ini sentiasa dilindungi.
Terdahulu, kira-kira 3,000 anggota kesatuan sekerja hadir pada himpunan tersebut termasuk beberapa pemimpin kesatuan sekerja serta beberapa pemimpin lain di peringkat negeri.
Dalam pada itu, Steven memberitahu, Kesuma akan memperkasa pusat-pusat sehenti tenaga kerja milik kementerian berkenaan yang baru sahaja diwujudkan di empat lokasi iaitu Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Johor dan Sabah sebelum memperluas perkhidmatan tersebut ke negeri-negeri yang lain.
“Tujuan pusat sehenti ini ditubuhkan ialah untuk menjadi pemudah cara bagi pemegang taruh kita, khususnya warga pekerja dan majikan semasa mendapatkan perkhidmatan-perkhidmatan dari semua jabatan dan agensi di Kesuma.
“Kita ada sembilan jabatan dan lima agensi. Jadi, dengan adanya pusat sehenti ini, maka, mereka tidak perlu pergi ke merata tempat untuk mencari maklumat untuk mendapatkan perkhidmatan yang berkaitan,” jelas beliau. -KOSMO! ONLINE