WASHINGTON – Sebuah pesawat penumpang Spirit Airlines dikesan berada terlalu hampir dengan kapal terbang Air Force One dinaiki Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, yang ketika itu dalam penerbangan ke Britain, lapor Perbadanan Penyiaran British (BBC) semalam.
Juruterbang pesawat tersebut menerima amaran berulang kali daripada pengawal trafik udara supaya membuat pusingan jauh selepas ia terbang terlalu hampir dengan pesawat rasmi Presiden.
“Berhenti menggunakan iPad!” demikian menurut amaran yang disampaikan kepada juruterbang Spirit Airlines apabila pesawat itu terbang sejauh 12.8 kilometer selari dengan Air Force One di ruang udara New York semalam.
Pesawat-pesawat tersebut tidak berada dalam jarak yang diklasifikasikan sebagai ‘tidak selamat’ oleh Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA), tetapi ia cukup dekat untuk membimbangkan pegawai-pegawai.
“Keselamatan sentiasa menjadi keutamaan kami,” kata jurucakap syarikat penerbangan Spirit Airlines kepada saluran berita CBS, rakan media BBC di AS.
Penerbangan tersebut ketika kejadian dalam penerbangan dari negeri Florida ke Massachusetts.
Menurut laman penjejakan penerbangan Flightradar24, kedua-dua pesawat terbang selari dengan jarak 12.8 kilometer dan berada di laluan yang boleh bertembung pada jarak 17.7 kilometer.
FAA menyatakan bahawa siasatan awal menunjukkan, pesawat mengekalkan jarak pemisahan yang diperlukan.
Audio kawalan trafik udara yang diperoleh BBC merakam detik pengawal memberi arahan mendesak dan berulang kali kepada pesawat Airbus A321 Spirit Airlines supaya menjauhi Air Force One.
Juruterbang syarikat penerbangan tambang rendah itu mengesahkan menerima arahan tersebut walaupun jawapan mereka sukar didengari kerana bunyi statik pada rakaman. – AGENSI