Permohonan Rosmah tangguh bayaran RM67.5 juta tanpa syarat ditolak

3 hours ago 2

PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan di sini hari ini menolak permohonan Datin Seri Rosmah Mansor untuk penangguhan tanpa syarat RM67.5 juta dalam saman syarikat barang kemas dari Lubnan, Global Royalty Trading SAL berhubung kehilangan 43 unit barang kemas.

Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim yang diketuai Datuk Seri Mohd. Firuz Jaffril selepas mendapati pihak pembelaan Rosmah, 75, tidak mengemukakan alasan mencukupi bagi penangguhan tanpa syarat sementara menunggu penyelesaian rayuan yang dijangka pada 25 Mac tahun depan.

“Kami berpendapat bahawa tiada alasan munasabah yang wajar untuk membenarkan penangguhan tanpa syarat. Atas alasan-alasan berkenaan, kami menolak usul ini,” kata Hakim Mohd. Firuz.

Justeru dengan keputusan itu, Global Royalty Trading SAL kini boleh menguatkuasakan perintah Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap Rosmah Mansor bagi mendapatkan bayaran RM67.5 juta itu.

Dua lagi hakim yang turut bersidang ialah Datuk Amarjeet Singh Serjit Singh dan Datuk Aliza Sulaiman.

Dalam prosiding hari ini, Datuk David Gurupatham mewakili Global Royalty manakala peguam Mohamed Reza Abdul Rahim mewakili Rosmah. Sementara Peguam Kanan Persekutuan Siti Aisyah Ramlan mewakili kerajaan.

Pada 10 Jun lalu, Rosmah diperintah membayar sebanyak RM67.5 juta kepada Global Royalty Trading SAL berhubung kehilangan 43 unit barang kemas yang didakwa dipinjamkan kepada isteri bekas Perdana Menteri itu.

Hakim Datuk Quay Chew Soon membuat keputusan itu selepas membenarkan saman yang dikemukakan syarikat itu selaku plaintif terhadap Rosmah, 75, selaku defendan dalam kes saman itu.

Mahkamah turut memerintahkan, ganti rugi itu perlu dibayar Rosmah dalam tempoh sebulan bermula tarikh penghakiman selain Rosmah perlu membayar kos sebanyak RM150,000 yang mana RM75,000 kepada plaintif manakala RM75,000 lagi kepada pihak ketiga.

Dalam pada itu, hakim turut menolak tuntutan Rosmah terhadap pihak ketiga iaitu Ketua Polis Negara dan kerajaan, berhubung dakwaannya bahawa barang kemas yang hilang itu telah disita ketika serbuan polis yang berkaitan dengan siasatan skandal kewangan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pada tahun 2018.

Hakim Chew Soon itu ketika membacakan penghakimannya, berkata, mahkamah mendapati terdapat prima facie bahawa Rosmah gagal memulangkan barangan kemas berkenaan kepada syarikat itu dan ia adalah bukti kecuaian selain Rosmah gagal membuktikan dakwaan bahawa kesemua 43 barang kemas tersebut telah disita.

Kemudian pada 12 Ogos lalu, Pesuruhjaya Kehakiman Marianne Antoinette Ghani membenarkan permohonan Rosmah untuk menangguhkan bayaran berkenaan kepada syarikat itu.

Meskipun memperoleh penangguhan bayaran, mahkamah memerintahkan Rosmah perlu mendepositkan jumlah itu ke ke akaun pemegang amanah bersama bagi pihak peguam kedua-dua pihak dalam tempoh sebulan.

Mahkamah menyatakan bahawa penangguhan bersyarat mengimbangi hak pihak-pihak yang terlibat selain memastikan plaintif mendapat hasil daripada kejayaan tuntutan mahkamahnya dan pada masa sama turut menjamin hak rayuan defendan (Rosmah) supaya tidak menjadi sia-sia sekiranya rayuannya dibenarkan.

Global Royalty memfailkan saman AS$14.57 juta saman terhadap Rosmah berkaitan kehilangan lebih 40 unit barang kemas yang didakwa dipinjamkan kepada Rosmah. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |