Malaysia jadikan TVET teras dasar perindustrian

3 hours ago 2

SHANGHAI – Malaysia mengangkat Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional (TVET) sebagai teras dasar perindustriannya, menjadikannya sebagai instrumen utama transformasi ekonomi untuk melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi dengan pendapatan yang baik.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, strategi itu merupakan teras kepada usaha negara untuk beralih kepada ekonomi dengan pertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi sejajar dengan pengembangan kepada bidang reka bentuk cip, kecerdasan buatan (AI), teknologi hijau dan agromakanan.

Beliau berkata, di bawah fasa pembaharuan TVET 2.0, Malaysia menyasarkan untuk memperkukuh kerjasama antara pemain industri dan institusi latihan selain memacu pendedahan kepada bidang baharu yang sedang berkembang termasuk semikonduktor, AI dan tenaga boleh baharu.

Anwar berkata, penyelarasan agenda nasional itu diuruskan oleh Majlis TVET Negara melibatkan kira-kira 1,400 institusi yang merangkumi 12 kementerian, kerajaan negeri dan penyedia latihan swasta berteraskan Dasar TVET Negara 2030.

“Syarikat mengetahui peralatan yang digunakan dan sejauh mana keperluan mereka berubah dengan cepat. Mereka perlu menjadi rakan kongsi dalam membentuk bakat dan memastikan mereka sentiasa berada di hadapan.

“Ekonomi moden tidak dapat berfungsi tanpa tenaga teknikal yang memastikan barisan pengeluaran semikonduktor terus beroperasi atau kilang kenderaan elektrik menepati jadual. Jentera mungkin menjadi semakin maju.

“Perisian mungkin menjadi semakin pintar. Bagaimanapun, seseorang masih perlu memahami cara ia berfungsi dan tahu apa yang perlu dilakukan apabila ia tidak berfungsi,” kata beliau dalam ucaptama selama 10 minit pada sesi pleno Persidangan WorldSkills 2026 di sini hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri China Li Qiang merasmikan persidangan selama tiga hari itu bertemakan, ‘Shaping a Skills-Driven Future’ yang diadakan di Pusat Pameran dan Konvensyen Kebangsaan (NECC) di sini.

Ia diadakan serentak dengan WorldSkills Competition Shanghai 2026 Ke-48 dan WorldSkills Expo, persidangan itu menghimpunkan penggubal dasar, pendidik, pemimpin industri dan peneraju perubahan untuk membincangkan usaha meningkatkan agenda TVET global.

Menyatakan penghargaan kepada Perdana Menteri China atas jemputan lawatan kerja dan sambutan mesra yang diberikan kepada delegasi Malaysia, Anwar berkata, Shanghai telah melalui perubahan yang pesat daripada industri tekstil sebagai industri utamanya kepada kemudahan fabrikasi semikonduktor dan AI.

“Setiap industri baharu perlu dipelajari sebelum ia dapat dibangunkan. Malaysia turut mempunyai pandangan yang sama,” kata beliau.

Anwar berkata Malaysia menetapkan dua sasaran utama menjelang 2030 di bawah Strategi Semikonduktor Nasional, iaitu menarik pelaburan semikonduktor berjumlah RM500 bilion serta melatih atau meningkatkan kemahiran 60,000 jurutera Malaysia berkemahiran tinggi.

“Dalam bidang TVET, kami mengalu-alukan lebih banyak pertukaran antara pelajar dan tenaga pengajar, lebih banyak program latihan bersama, hubungan yang lebih erat dalam kalangan institusi TVET serta antara institusi dan industri selain perkongsian teknologi dan kepakaran yang lebih luas.

“Inisiatif Latihan TVET Belia Malaysia-China telah mempamerkan hasil yang boleh dicapai melalui kerjasama antara institusi kita. Saya percaya TVET boleh menjadi antara teras hubungan yang lebih luas antara Malaysia dan China,” kata Anwar. – BERNAMA

Read Entire Article
Pertanian | | | |