KEPUTUSAN berani dan berisiko tinggi menukar lagu serta formasi persembahan hanya tiga hari sebelum pertandingan membuah hasil paling manis buat kumpulan Sanggar Studio Talent apabila dinobatkan sebagai juara sulung Sarong Dance ’26 – Road To Sedekad Keretapi Sarong.
Pertandingan berprestij yang berlangsung penuh meriah di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada 22 Ogos lalu itu menyaksikan kehebatan bakat-bakat muda dalam memartabatkan seni budaya warisan.
Menerusi persembahan yang penuh bertenaga dan memukau bertajuk Rentak Sang Juragan, kumpulan badan bukan kerajaan (NGO) yang berasal dari Kuantan, Pahang itu berjaya menambat hati barisan juri sekali gus membawa pulang hadiah utama bernilai RM3,000.
Sanggar Studio Talent mengetepikan cabaran sengit daripada tujuh kumpulan lain dalam pertandingan yang secara keseluruhannya menghimpunkan seramai 85 peserta dari pelbagai latar belakang.
Kemenangan manis ini secara tidak langsung memimpin langkah mereka bersama lima kumpulan terbaik yang lain untuk meneruskan perjalanan ke pentas Keretapi Sarong 2026 bersempena dengan sambutan sedekad acara berkenaan.
Keretapi Sarong merupakan satu acara fenomena di seluruh tanah air yang menyaksikan orang ramai berkumpul dan menaiki tren atau kereta api bagi bersama-sama meraikan Hari Malaysia dengan pemakaian sarung atau busana tradisional yang memcerminkan kepelbagaian budaya.
Keretapi Sarong anjuran sebuah platform budaya, Locco kini berusia hampir sedekad apabila mula dipopularkan pada tahun 2017.
Dalam pertandingan Sarong Dance’26, Sanggar Studio Talent mengangkat kain sarung sebagai simbol identiti dan warisan yang amat bernilai menerusi karya berteraskan lagu Ayuh Juragan.
Persembahan itu menyajikan sentuhan kontemporari yang segar menerusi gabungan mantap elemen orkestra, gema gendang etnik dan irama sewang.
Penggunaan kain sarung sebagai prop utama yang diolah menerusi variasi formasi serta gerak tari yang sangat dinamik telah memberikan impak visual yang begitu memukau di atas pentas.
Wakil dan penari Sanggar Studio Talent, Nur Syuhada Ennisa Mazlan menzahirkan kesyukuran atas kemenangan tersebut selepas segala komitmen serta usaha keras seluruh anggota kumpulan akhirnya membuahkan hasil yang berbaloi.
Kumpulan yang menyertai pertandingan kali ini dianggotai anak-anak muda yang berusia antara sembilan hingga 17 tahun.
“Sebelum ini kami pernah menyertai beberapa pertandingan tarian tetapi Sarong Dance ’26 merupakan penglibatan pertama Sanggar Studio Talent di pentas berskala besar.
“Bagi memastikan persembahan yang dipamerkan berkualiti dan istimewa, kami sanggup mengambil risiko menukar lagu dan formasi kepada sesuatu yang lebih menarik tiga hari sebelum pertandingan berlangsung.
“Sejujurnya memang panik kerana bimbang ahli kumpulan tidak mempunyai masa yang cukup untuk berlatih dan menghafal formasi. Namun, semuanya berjalan lancar dan misi untuk meraih kemenangan menjadi pemangkin untuk kami memberikan yang terbaik,” kata Nur Syuhada kepada K-Remaja.
Nur Syuhada turut menjelaskan bahawa elemen sewang dijadikan antara identiti utama persembahan mereka.
Apa yang pasti katanya, keputusan berani untuk mengubah strategi persembahan pada saat-saat akhir menjadi antara percaturan utama yang memberi impak sangat besar terhadap kualiti persembahan mereka.
Nur Syuhada turut meluahkan harapan agar penganjuran program bermanfaat seperti Sarong Dance dapat diteruskan secara konsisten dan diperluas lagi pada masa hadapan.
Langkah ini penting bagi menarik lebih ramai kanak-kanak serta golongan muda untuk mendekati, mempelajari dan menghargai seni persembahan warisan negara.
Program yang berlangsung di sebuah hotel di Kuala Lumpur turut menarik kehadiran 300 pengunjung.“Saya berharap Sarong Dance dapat diteruskan pada masa akan datang dan mungkin diperluaskan bersempena sambutan lain seperti Hari Kebangsaan atau Hari Raya Aidilfitri.
“Program seperti ini boleh membuka lebih banyak ruang kepada kanak-kanak dan anak muda untuk mengenali, mempelajari dan menghargai seni persembahan warisan kita,” katanya.
Saingan dalam pertandingan sulung ini ternyata amat sengit apabila kumpulan Ketsida yang meraih tempat kedua membawa pulang hadiah wang tunai RM2,000 menerusi karya bertajuk Rentak Bersama.
Persembahan Ketsida turut mengangkat kain sarung sebagai simbol warisan, identiti, dan kebersamaan dengan berteraskan elemen joget.
Mereka menggabungkan gerak serta irama tradisional dengan olahan segar dan dinamik sekali gus meraikan seni tari sebagai medium yang mampu menyatukan masyarakat.
Sementara itu, kedudukan tempat ketiga menjadi milik kumpulan Nusa Harmoni yang menerima hadiah RM1,000 menerusi karya Sarong: Sehelai Kain, Sejuta Warisan.
Karya berkenaan mengetengahkan kepelbagaian budaya Malaysia dengan mengambil inspirasi daripada figura legenda Cik Siti Wan Kembang serta menampilkan gabungan elemen Melayu, Cina, India, Orang Asli, Sabah dan Sarawak di mana kain sarung dijadikan simbol penghubung perbezaan tradisi dan budaya.
Bagi kedudukan tempat keempat dan kelima, ia masing-masing diduduki oleh kumpulan Anak Taming Sari dan Tingkah Masyhur yang membawa pulang hadiah wang tunai RM500 setiap kumpulan.
Tingkah Masyhur turut mencuri perhatian ramai apabila dinobatkan sebagai Pilihan Penonton.
Sementara pengiktirafan bagi kategori Busana Terbaik pula berjaya diterima oleh kumpulan Sanggul Emas.
Pengarah Sarong Dance’26, Nik Amri Nik Hassan berkata, sambutan yang sangat menggalakkan terhadap penganjuran sulung program ini memberi keyakinan tinggi bahawa Sarong Dance mempunyai potensi besar untuk berkembang sebagai platform utama yang mempertemukan komuniti seni tari daripada pelbagai latar belakang.
“Alhamdulillah, kami sangat bersyukur kerana penganjuran sulung Sarong Dance mendapat sambutan yang cukup baik daripada peserta, komuniti tari dan pengunjung.
“Sarong Dance bukan diwujudkan sekadar untuk mencari siapa yang terbaik di atas pentas. Kami mahu ia menjadi ruang kepada kumpulan dan penari untuk berkarya, bereksperimen serta mempersembahkan identiti Malaysia melalui bahasa tari dengan kain sarung sebagai titik pertemuan.
“Lebih bermakna, apabila edisi pertama ini berlangsung dalam perjalanan menuju sedekad Keretapi Sarong. Kami melihat Sarong Dance sebagai salah satu platform yang boleh melahirkan lebih ramai bakat dan penggerak yang akan bersama-sama membawa warisan serta budaya Malaysia kepada generasi seterusnya,” jelasnya.
Menurut Nik Amri lagi, penyertaan lapan kumpulan dalam edisi pertama ini jelas memperlihatkan bagaimana satu elemen tradisi seperti kain sarung boleh diterjemahkan dalam pelbagai bentuk persembahan tanpa hilang akar budayanya.
“Setiap kumpulan datang dengan cerita dan interpretasi masing-masing. Ada yang mengangkat tradisi, ada yang bermain dengan elemen kontemporari, tetapi akhirnya mereka bertemu pada satu perkara yang sama iaitu bagaimana sarung boleh terus hidup dan relevan dalam ekspresi generasi hari ini.
“Itulah semangat yang kami mahu bawa. Warisan tidak seharusnya hanya dilihat sebagai sesuatu untuk dikenang, tetapi sesuatu yang boleh terus diteroka, dipersembahkan dan diberikan nafas baharu,” katanya.
Nik Amri turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang memberikan sokongan padu terhadap penganjuran Sarong Dance ’26.
“Terima kasih kepada Locco atas kepercayaan dan sokongan sejak awal. Penghargaan paling besar tentunya kepada semua kumpulan yang berani tampil dan memberikan persembahan terbaik.
“Menang atau tidak, setiap daripada mereka sudah menjadi sebahagian daripada perjalanan menuju Keretapi Sarong 2026,” katanya.
Pemenang Sarong Dance 2026 telah dinilai secara profesional oleh barisan juri berkaliber yang terdiri daripada Pensyarah Fakulti Filem, Teater dan Animasi Universiti Teknologi Mara, Tuan Amandus Paul Panan; wakil Locco Malaysia, Adam Faizal dan Faizah Ahkam; Koreografer Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Selangor, Shaikh
Hasrul Hafiz Shaikh Anuar serta Director of F&B Hotel Royale Chulan Kuala Lumpur, Azuan Azlan.
Penilaian merangkumi pelbagai aspek penting termasuk kreativiti dan penggunaan sarung, koreografi, kostum, tatarias dan visual, identiti Malaysia dan nilai persembahan serta interaktiviti bersama penonton.
Penganjuran Sarong Dance’26 yang dianjurkan oleh Antava Projects dan disokong oleh Locco ini turut menarik kehadiran sekitar 300 pengunjung menerusi pelbagai pengisian yang berlangsung sepanjang hari.
Selain pertandingan tarian, program berkenaan diserikan dengan pertandingan mewarna kanak-kanak, aktiviti komuniti, reruai vendor dan aktivasi bersama rakan kolaborasi.
Acara itu turut menjana hadiah keseluruhan bernilai RM8,000.

7 hours ago
3









![[VIDEO] Jepun panas… Dara, Amoi, Kelat bersungguh cari tempat teduh](https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/09/WhatsApp-Image-2026-09-22-at-6.45.58-PM.jpeg)




























![[VIDEO] Masih tinggal dengan capybara, Oyen kekal paling popular di Zoo Negara](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/09/oyen-zoo-negara.jpeg)







