PUTRAJAYA – Kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi pelaksanaan Dasar Ekonomi Madani dilihat berjaya membuahkan hasil apabila ekonomi negara terus ditingkatkan, seterusnya berupaya memberi manfaat menyeluruh kepada rakyat.
Pensyarah Kanan Ekonomi Universiti Teknologi Mara Negeri Sembilan, Dr. Bashir Ahmad Shabir Ahmad berkata, berdasarkan pandangan ekonomi, tempoh kepimpinan Anwar berjaya membangunkan pembangunan ekonomi makro secara baik.
Katanya, antara usaha-usaha itu adalah meningkatkan gaji minima rakyat selain meningkatkan kenaikan gaji kakitangan awam.
“Selain itu, usaha meningkatkan pelaburan langsung asing (FDI) dan pelaburan langsung domestik (DDI) juga terus dilaksana dalam usaha menjana ekonomi tempatan dengan lebih cemerlang dan mampan.
“Cuma adakah ia memadai? Bagi saya usaha itu usaha yang baik dan berterusan, tetapi tidak mencapai lagi hasrat yang harus diterjemahkan kepada rakyat Malaysia yang sedia ada.
“Kerana pada masa sama kita dihimpit dengan peperangan global yang menyebabkan kenaikan harga minyak melambung tinggi sehingga memberi kesan ketara kepada sektor pengangkutan, pelancongan, industri makanan, sektor eksport-import dan sebagainya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Baru-baru ini, menurut Laporan Survei Gaji dan Upah Malaysia 2025 diterbitkan Jabatan Perangkaan (DOSM) menunjukkan purata gaji dan upah bulanan warga Malaysia meningkat 4.1 peratus kepada RM3,803 pada 2025 berbanding RM3,652 pada tahun sebelumnya.
Pada masa sama, penengah gaji dan upah bulanan meningkat 5.3 peratus kepada RM2,940 daripada RM2,793 pada 2024.
DOSM memaklumkan bilangan penerima gaji dan upah bulanan keseluruhan meningkat kepada 12.01 juta orang berbanding 11.96 juta pada 2024 dan daripada jumlah itu, warga Malaysia merangkumi 10.38 juta orang atau 86.4 peratus daripada keseluruhan pekerja bergaji sepenuh masa.
Dalam pada itu, Bashir berkata, situasi geopolitik global secara tidak langsung telah merencatkan pertumbuhan ekonomi negara yang pada asalnya berada dalam keadaan yang agak baik.
Maka, katanya, Belanjawan 2027 adalah sangat penting bagi menentukan sektor ekonomi negara ke arah berdaya saing dengan menghadapi cabaran-cabaran dan isu global yang berlaku sekarang.
“Pada masa sama kerjaaan perlu memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat Malaysia terutama M40 dan B40 itu dapat diutamakan.
“Saya mengharapkan belanjawan tahun ini akan memberikan lebih penekanan bagaimana kerajaan boleh mengatasi aspek-aspek elemen yang berlaku di global ini yang dapat diterjemahkan dalam Belanjawan 2027 dengan mekanisme yang dirasakan sesuai untuk membantu makroekonomi negara terus berkembang maju,” katanya. – KOSMO! ONLINE

7 hours ago
4









![[VIDEO] Jepun panas… Dara, Amoi, Kelat bersungguh cari tempat teduh](https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/09/WhatsApp-Image-2026-09-22-at-6.45.58-PM.jpeg)




























![[VIDEO] Masih tinggal dengan capybara, Oyen kekal paling popular di Zoo Negara](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/09/oyen-zoo-negara.jpeg)







