Permohonan Anwar rujuk persoalan undang-undang imuniti saman diketahui esok

2 days ago 13

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan esok bagi keputusan permohonan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk merujuk lapan persoalan undang-undang ke Mahkamah Persekutuan berhubung imuniti saman sivil.

Hakim Roz Mawar Rozain menetapkan keputusan esok selepas selesai mendengar hujahan daripada pihak-pihak dalam prosiding secara dalam kamar hari ini.

Pada masa sama Hakim Roz Mawar turut akan memberikan keputusan sama ada boleh atau tidak perbicaraan saman sivil itu digantung sementara menunggu Mahkamah Persekutuan memutuskan lapan persoalan undang-undang tersebut.

Dua minggu lalu, Anwar memfailkan permohonan untuk merujuk lapan persoalan ke Mahkamah Persekutuan bagi menentukan sama ada beliau mempunyai kekebalan daripada saman sivil yang difailkan oleh Muhammad Yusoff Rawther.

Menerusi permohonan yang difailkan oleh firma guamannya, Tetuan Zain Megat & Murad, Anwar memohon mahkamah tertinggi negara memutuskan sama ada Perkara 39, 40 dan 43 Perlembagaan Persekutuan memberi beliau kekebalan bersyarat daripada saman berkenaan.

Sementara itu, memetik laporan sebuah portal pada 28 Mei lalu, peguam Megat Abdul Munir Megat Abdullah Rafaie yang mewakili Anwar berkata dalam afidavit sokongan, permohonan dibuat bukan untuk melengahkan perbicaraan, tetapi bagi memastikan proses kehakiman berjalan adil dan menurut lunas perlembagaan.

Perdana Menteri turut memohon agar mahkamah mempertimbangkan sama ada saman tersebut menjejaskan keupayaannya menjalankan tugas eksekutif serta melemahkan prinsip pengasingan kuasa yang dijamin oleh Perlembagaan.

Ahli Parlimen Tambun itu juga mahu mahkamah menentukan sama ada prosiding saman tersebut melanggar hak beliau untuk dilayan sama rata di sisi undang-undang, seperti diperuntukkan dalam Perkara 8(1) Perlembagaan Persekutuan.

Dalam permohonan yang sama, Anwar turut memohon Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa Mahkamah Tinggi perlu menjalankan siasatan bagi menentukan sama ada saman itu merupakan penyalahgunaan proses atau suatu ancaman kepada kepentingan awam.

Sekiranya benar, mahkamah perlu memutuskan sama ada saman itu wajar digantung atau dibatalkan demi mengekalkan tadbir urus berperlembagaan.

Permohonan itu juga mahu Mahkamah Persekutuan menentukan sama ada Anwar, sebagai Perdana Menteri semasa, berhak menurut Perkara 5(1) Perlembagaan untuk perlindungan daripada litigasi yang bersifat strategik atau dipolitikkan bagi menjejaskan keupayaannya mentadbir negara.

Muhammad Yusoff memfailkan saman terhadap Anwar pada 2021 selepas mendakwa diserang di kediaman Presiden PKR itu di Segambut pada Oktober 2018.

Dalam saman yang difailkannya, bekas penyelidik itu mendakwa, kejadian tersebut berlaku pada 2018, sebelum Anwar dilantik sebagai Perdana Menteri pada 24 November 2022.

Plaintif mendakwa, Ahli Parlimen Tambun itu melakukan serangan seksual dan pencerobohan ke atas dirinya walaupun dia menolak perbuatan defendan serta memintanya berhenti melakukan perbuatan itu.

Berikutan dakwaan itu, Muhammad Yusoff selalu plaintif dituduh berkomplot untuk menjatuhkan dan merosakkan karier politik defendan, selain memberi impak kepada kesihatan mentalnya kerana mendapat kritikan pelbagai pihak. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |