Percubaan pelaksanaan NIISe bagi urusan imigresen mula 28 September

2 hours ago 1

PUTRAJAYA – Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan melaksanakan Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe) secara percubaan (trial run) khususnya di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) dan Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Johor bermula 22 September ini hingga 28 Februari 2026.

KDN dalam satu kenyataan berkata, proses percubaan itu akan diteruskan secara berperingkat di lima Lapangan Terbang Antarabangsa (LTA) utama negara.

Ia melibatkan KLIA Terminal 1 dan Terminal 2; Bayan Lepas, Pulau Pinang; Kuching, Sarawak dan Kota Kinabalu, Sabah dalam tempoh masa tersebut.

“Sepanjang tempoh percubaan NIISe ini, sistem Kod QR dan aplikasi MyBorderPass yang sedia ada masih diteruskan untuk proses kemasukan dan perlepasan imigresen.

“Walau bagaimanapun, orang ramai termasuk pelawat-pelawat asing digalakkan untuk memuat turun aplikasi MyNIISe.

“Ia bagi tujuan proses kemasukan dan perlepasan imigresen di laluan pintu masuk yang telah diaktifkan penggunaannya di sepanjang tempoh percubaan ini,” katanya hari ini.

Aplikasi MyNIISe ini boleh dimuat turun di Apple App Store, Google Play Store dan Huawei App Gallery.

KDN turut mengingatkan bahawa dokumen perjalanan atau pasport yang sah masih diperlukan untuk proses kemasukan dan perlepasan imigresen mengikut ketetapan Akta Imigresen 1959/63.

“Sistem NIISe merupakan salah satu inisiatif utama bawah agenda reformasi Kerajaan Madani bawah KDN dan pelaksanaannya dipercepat kepada September 2025 daripada jadual asal iaitu Mac 2026.

“Pada akhir tempoh percubaan, sistem NIISe ini akan menggantikan sistem kod QR sedia ada dan ini ialah inisiatif reformasi Kerajaan Madani bawah KDN bagi meningkatkan dan menaik taraf kecekapan sistem semakan keselamatan automatik di pintu masuk negara,” katanya.

Jelas kenyataan itu, KDN kekal komited untuk memperkukuh kawalan sempadan negara demi
keselamatan, kelancaran perjalanan dan kemudahan rakyat, selaras dengan aspirasi Kerajaan Madani. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |