Penyelarasan matrikulasi kurangkan pertindihan, jimat kot

15 hours ago 8

KUALA LUMPUR – Pemindahan pengurusan program matrikulasi daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) kepada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dijangka mengurangkan pertindihan fungsi dan birokrasi antara kedua-dua kementerian selain dapat menjimatkan kos dan memperkemas birokrasi.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abd Kadir berkata, langkah itu akan menyatukan tadbir urus di bawah KPT, khususnya melibatkan aspek perancangan kurikulum, pentaksiran, pengurusan kemasukan serta pemantauan kualiti.

“Penyatuan itu membolehkan perkongsian sumber dan penyelarasan sistem data, sekali gus mengoptimumkan kos operasi tanpa menjejaskan kebajikan pelajar serta kualiti pengajaran dan pembelajaran.

“Ia dijangka mengurangkan pertindihan fungsi dan birokrasi, di samping menjimatkan kos operasi tanpa menjejaskan kebajikan pelajar atau kualiti pengajaran dan pembelajaran ,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikan bagi menjawab soalan Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) mengenai pelan pemindahan pengurusan program matrikulasi serta jaminan bahawa penyelarasan itu tidak akan menjejaskan kuota sedia ada atau kualiti kemasukan ke universiti awam.

Tambah Zambry, proses pemindahan tadbir urus akan diperhalusi oleh jawatankuasa berkaitan dengan kerjasama agensi pusat seperti Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kementerian Kewangan (MOF) bagi memastikan pelaksanaannya berjalan lancar.

Kata beliau, KPM dan KPT juga akan mengadakan sesi libat urus bersama pemegang taruh termasuk Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) bagi mendapatkan pandangan dan maklum balas sewajarnya.

“Sesi tersebut bagi mendapatkan input dan maklum balas yang sewajarnya dalam usaha kita untuk memastikan pemindahan program tingkatan enam ini dapat dilaksanakan dengan lancar dan memberi manfaat yang baik kepada semua pihak,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE.

Read Entire Article
Pertanian | | | |