Penjawat awam siap sedia hadapi cabaran tatakelola di era AI

2 hours ago 2

SEPANG – Seluruh warga sektor awam dituntut untuk bersiap siaga menghadapi cabaran tatakelola di era kecerdasan buatan (AI), selaras dengan sasaran Malaysia untuk menjadi negara berteraskan teknologi itu menjelang 2030 seperti digariskan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, di era Revolusi Industri 4.0, AI telah membawa perubahan besar dalam cara berkomunikasi, bekerja dan membuat keputusan.

Justeru, katanya, teknologi AI penting untuk dimanfaatkan dalam sektor awam ke arah meningkatkan kecekapan dan produktiviti dalam sistem penyampaian perkhidmatan awam.

“Dalam konteks pencegahan rasuah, keupayaan AI dalam menganalisis ribuan data atau Big Data, membolehkan ia mengesan trend transaksi kewangan yang mencurigakan serta memberikan amaran awal tentang kemungkinan berlakunya penyelewengan yang boleh membawa kepada risiko rasuah.

“Penggunaan teknologi AI dalam pencegahan rasuah juga semakin meluas di peringkat global, khususnya dalam sektor awam, perolehan dan penguatkuasaan.

“Korea Selatan, contohnya, telah memperkukuh sistem e-perolehan melalui Korea Online e-Procurement System yang menggunakan AI dan blockchain untuk meningkatkan ketulenan dokumen dan mencegah manipulasi perolehan,” katanya ketika berucap pada Persidangan Penyelidikan Governans, Integriti dan Antirasuah Peringkat Kebangsaan Kali Ke-4 Tahun 2025 di sini hari ini.

Beliau turut berharap hasil penyelidikan daripada persidangan yang dianjurkan itu dapat membantu kerajaan dalam mengenal pasti isu dan cadangan penyelesaian ke arah pemantapan tatakelola yang memerlukan pendekatan bersepadu, inovatif dan inklusif untuk menghadapi cabaran masa hadapan.

Jelasnya, persidangan kali ini yang bertemakan ‘Pembanterasan Rasuah: Bertunjangkan Tatakelola Baik dan Pembudayaan Integriti adalah amat bertepatan dengan aspirasi Malaysia Madani dan Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam melalui strategi pemantapan integriti dan akauntabiliti penjawat awam.

“Perdana Menteri dalam pengumuman RMK13 yang lalu telah menekankan tatakelola baik sebagai kunci untuk mencapai pembangunan inklusif dan mampan. Ini melibatkan pentadbiran yang cekap, telus dan adil dalam penyampaian perkhidmatan awam, serta reformasi fiskal dan transformasi digital.

“Bagi menyokong hasrat tersebut, Teras Keberhasilan Reformasi (TKR) pertama yang diberikan tumpuan dalam Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA) adalah ‘Penghayatan Nilai dan Tatakelola’.

“Aspirasi ini hanya akan tercapai sekiranya kita semua sebagai penjawat awam kekal komited, profesional dan bekerja sebagai satu pasukan dalam menangani pelbagai isu negara termasuk rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |