Pelajar terjejas banjir diberi kelonggaran tidak pakai seragam sekolah

1 hour ago 2

PUTRAJAYA – Mana-mana pelajar yang terjejas di negeri terlibat banjir diberi kelonggaran untuk tidak memakai seragam sekolah bagi pembukaan persekolahan selepas Cuti Penggal 2 Sesi 2025/2026.

Kementerian Pendidikan (KPM) dalam satu kenyataan berkata, selain itu, bagi murid terkandas dan tidak dapat hadir ke sekolah, mereka boleh mengikuti proses pembelajaran secara pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

“KPM pada waktu ini sedang melakukan persiapan bagi pembukaan sekolah selepas Cuti Penggal 2, Sesi 2025/2026.

“Ini termasuk melakukan kerja pembersihan dan bantuan penyelenggaraan sekolah terjejas banjir.

“Murid terjejas banjir diberi kelonggaran untuk tidak memakai seragam sekolah dan murid terkandas dan tidak dapat hadir ke sekolah boleh mengikuti PdPR,” katanya hari ini.

Kata kenyataan itu, KPM menyediakan bantuan terbaik kepada murid terjejas termasuk daripada segi aspek penyediaan bahan pembelajaran serta sokongan psikososial dan emosi.

“Ibu bapa atau penjaga murid, guru, pegawai dan anggota kumpulan pelaksana yang terjejas diminta untuk memaklumkan situasi masing-masing kepada pihak sekolah atau jabatan.

“Pihak sekolah dan pejabat pendidikan daerah diminta untuk mendapatkan maklumat terkini situasi banjir daripada sekretariat jawatankuasa pengurusan bencana negeri, jabatan pendidikan negeri dan agensi berkaitan,” katanya.

Sementara itu, KPM memaklumkan sehingga pukul 8 pagi hari ini, sebanyak 69 buah sekolah di Sabah dan Sarawak terjejas banjir.

Ia melibatkan 33 sekolah rendah dan lima sekolah menengah di Sabah, manakala di Sarawak meliputi 28 sekolah rendah dan tiga sekolah menengah.

Selain itu, sebanyak tujuh Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di premis institusi pendidikan KPM negeri Sabah turut beroperasi. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |