DOHA – Seorang pegawai kanan Hamas bercakap buat kali pertama sejak serangan Israel minggu lalu terhadap kepimpinan kumpulan itu di ibu negara Qatar, Doha, dengan menggambarkan detik tersebut serta bagaimana mereka dapat menyelamatkan diri.
“Kami berada dalam satu mesyuarat delegasi rundingan dan beberapa penasihat. Tidak sampai sejam selepas kami mula menyemak cadangan Amerika Syarikat (AS) yang diterima daripada pengantara Qatar, kami mendengar letupan kuat,” kata Ghazi Hamad kepada saluran berita Al Jazeera Arabic.
“Kami segera meninggalkan tempat kejadian kerana tahu dari awal bahawa letupan itu adalah tembakan Israel. Kami pernah tinggal di Gaza dan mengalami serangan Israel sebelum ini,” tambah beliau.
Serangan itu meragut nyawa lima anggota Hamas dan seorang pegawai keselamatan Qatar ketika Israel cuba membunuh pemimpin kanan kumpulan pejuang Palestin itu.
Mereka yang disasarkan terlibat dalam rundingan cadangan gencatan senjata dan tawanan yang dikemukakan oleh Presiden AS, Donald Trump.
“Tembakan itu begitu sengit, keadaannya menakutkan dan roket berterusan tanpa henti. Terdapat kira-kira 12 roket dalam masa kurang dari satu minit, tetapi dengan izin Tuhan, kami terselamat daripada serangan itu,” katanya.
Ghazi memberitahu Al Jazeera bahawa rancangan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu untuk mengubah Asia Barat memerlukan tindak balas negara-negara Arab.
Beliau juga menambah bahawa Hamas mempunyai pengalaman pahit semasa rundingan gencatan senjata, manakala AS tidak mempunyai kredibiliti sebagai pengantara yang jujur.
“Beliau (Trump) tidak menakutkan kami,” kata Ghazi ketika mengulas ancaman daripada Presiden AS itu berhubung layanan terhadap tawanan Israel yang ditahan di Gaza.
Tambahnya, tebusan diperlakukan ‘mengikut nilai’ mereka dan hanya berada dalam bahaya akibat tindakan Israel sendiri. – AGENSI