Peabo Bryson, tokoh global meriahkan The Knights Award di KLCC

3 hours ago 2

PETALING JAYA – Malaysia bakal menjadi tumpuan dunia apabila bintang antarabangsa dan tokoh-tokoh terkenal berkumpul di Dewan Filharmonik Petronas, Menara Berkembar Petronas (KLCC) bagi Majlis Penganugerahan The Knights Award Musim Ke-4 pada Oktober ini.

Sidang akhbar pelancaran musim terbaharu anugerah berprestij itu berlangsung di Boathouse, Kuala Lumpur baru-baru ini, menampilkan pengumuman barisan penerima anugerah dan tetamu jemputan.

Antara nama besar yang diumumkan ialah penyanyi legenda Amerika Syarikat yang juga pemenang dua Anugerah Grammy, Peabo Bryson, serta pelakon Hong Kong popular, Wayne Lai.

Turut mencuri tumpuan ialah penyanyi viral dan jurulatih vokal Kanada, Rozette dan beliau akan membuat penampilan sulungnya di Malaysia bukan sahaja sebagai penerima anugerah, tetapi bakal muncul membuat persembahan di pentas berprestij itu.

Majlis ini turut diserikan kehadiran selebriti dan personaliti Malaysia, antaranya Datuk David Arumugam, pencipta kandungan popular, Jenn Chia, serta pemimpin perniagaan dan budaya terkemuka seperti Datuk Seri Robert Lim dan Naquib Hamdan dari Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

Kehadiran tokoh-tokoh ini menambah lagi seri acara yang sejak tiga musim lalu telah meraikan 150 kisah kejayaan merentasi pelbagai industri.

Presiden The Knights Award, Dr. Zyro Wong berkata, penganugerahan tahun ini bukan sekadar meraikan pencapaian individu dan organisasi, tetapi turut memperkukuh imej Malaysia sebagai destinasi budaya, seni serta keusahawanan bertaraf dunia.

“Kehadiran nama-nama besar antarabangsa dan tempatan membuktikan The Knights Award adalah pentas elit yang menyatukan pemimpin, inovator, dan ikon budaya dunia,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam majlis yang sama, memorandum persefahaman antara The Knights Award dan JDX Tea dimeterai, menandakan kerjasama strategik untuk mengukuhkan penjenamaan premium dalam industri teh, kesihatan serta hadiah.

Dengan sokongan rakan rasmi termasuk ASTRO, Millennium Autobeyond, JUSS, dan Branding Association Malaysia, The Knights Award terus menetapkan standard baharu bagi pengiktirafan global.

Penganjuran kali keempat itu dijangka menarik lebih ramai pemimpin industri, selebriti dan tokoh antarabangsa, sekali gus mengekalkan statusnya sebagai salah satu platform pengiktirafan paling berprestij di rantau ini. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |