PC tumpul, Sarjit mahu perubahan segera

1 day ago 8

KETUA jurulatih skuad hoki lelaki negara, Sarjit Singh menegaskan ketumpulan pukulan sudut penalti (PC) menjadi isu utama yang perlu diperbaiki segera menjelang kempen Piala Negara-Negara FIH 2025 di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil bulan ini.

Meskipun anak-anak buahnya menunjukkan peningkatan dari segi jaringan padang, ketumpulan dalam menyempurnakan PC masih lagi menjadi kekangan utama yang perlu diperbaiki untuk mencapai sasaran ke separuh akhir.

“Di Korea, kami dapat 23 PC dan hanya jaringkan lima dengan fliker baharu, itu masih boleh diterima. Tapi kami juga beri PC 25 kali dan bolos lima gol kepada lawan. Kami perlu kurangkan kesilapan itu, ia bukan mudah,” kata Sarjit pada sidang media pengumuman skuad semalam.

Ketiadaan pakar flik utama negara seperti Faizal Saari yang bersara Februari lalu serta Razie Rahim dan Najmi Farizal Jazlan selepas tidak lagi bersama pasukan memberi cabaran baharu kepada barisan kejurulatihan untuk mencari pengganti berkaliber.

Kini, tanggungjawab digalas Syed Syafiq Syed Cholan dan dua muka baharu, Muhamad Faris Harizan dan Arif Syafie Ishak yang sedang dibentuk sebagai pakar pukulan sudut penalti.

Bagi memantapkan lagi aspek itu, Speedy Tigers turut menerima sentuhan legenda Pakistan, Sohail Abbas yang dilantik sebagai penasihat teknikal sejak Oktober tahun lalu, khusus bagi memperkukuhkan bahagian tersebut.

“Sohail baru tiba dan masih menilai teknik pemain. Dia juga sudah ubah teknik beberapa fliker kita. Tapi ini ambil masa, bukan terus nampak hasil,” jelas Sarjit.

Menurutnya, ketajaman PC akan menjadi penentu kejayaan pasukan berdasarkan trend semasa yang menyaksikan banyak perlawanan antarabangsa ditentukan menerusi kecekapan menyempurnakan peluang daripada situasi bola mati.

“Kalau kita dapat jaringkan 50 peratus daripada PC, itu sudah cukup bantu pasukan mara lebih jauh,” tegasnya.

Sepanjang lima aksi di Korea, Malaysia merekodkan 16 gol dengan 11 jaringan padang dan lima menerusi pukulan sudut penalti daripada 23 percubaan.

Bagaimanapun, barisan pertahanan masih perlu diperkemas apabila benteng negara dibolosi 12 gol termasuk lima daripada 25 situasi PC yang diperoleh pihak lawan.

Read Entire Article
Pertanian | | | |