
- Oleh MOHD. HUSNI MOHD. NOOR
- 19 September 2025, 2:22 pm
SEPANG – Menubuhkan semula pasukan petugas khas banteras kemasukan pendatang tanpa izin (PATI) menjadi antara 11 resolusi yang dibentangkan pada Persidangan Penyelidikan Governans, Integriti dan Antirasuah Peringkat Kebangsaan Kali Ke-4, hari ini.
Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Madya Dr. Mohd Faris Abdullah berkata, resolusi itu penting bagi memastikan kesiapsiagaan petugas terutama di rangkaian sempadan negara.
Beliau berkata, pasukan petugas khas juga perlu dipertingkatkan menerusi fasiliti berteknologi tinggi serta pemberian insentif bersesuaian bagi memperkukuh kawalan keselamatan negara.
Selain itu, katanya, persidangan hari ini turut mencadangkan supaya Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172) diperkasakan dengan menambah baik mekanisme pemakluman keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Siasatan Tempatan dan Pendengaran (JSTP) kepada umum.
“Kami juga mahu satu sistem penjejakan sisa secara masa nyata diperkenalkan di seluruh negara bagi mencegah pengurusan sisa secara haram,” katanya
Resolusi lain dicadangkan termasuk
menggubal perundangan baharu bagi mengawal selia sukan elektronik (e-sukan) peringkat nasional dan memperkukuh kerangka perundangan melalui pelaksanaan ‘community policing’ dalam komuniti perikanan.
Selain itu, turut dicadangkan ialah memperkasakan peranan badan profesional sektor alam bina dengan audit pematuhan kod etika profesional serta sistem demerit dan meningkatkan pemantauan pelesenan industri pelancongan melalui pendigitalan. – KOSMO! ONLINE