Pasar raya diserbu, hari pertama dapat duit Sara

5 hours ago 3

PETALING JAYA – Suasana di beberapa pasar raya utama seluruh negara semalam menjadi lebih sibuk daripada biasa apabila orang ramai mula menyerbu premis perniagaan bagi membuat pembelian menggunakan Bantuan Sumbangan Asas Rahmah (Sara) sebanyak RM100.

Tinjauan mendapati, rata-rata penerima bantuan hadir seawal pagi bagi menebus bantuan ber­kenaan yang mula dikreditkan semalam sempena sambutan Hari Kebangsaan 2025.

Kebanyakan penerima mengakui mereka mengambil peluang sempena cuti umum untuk berbelanja bersama ahli keluarga di pasar raya terpilih.

Di Kota Bharu, Kelantan, pekerja swasta, Siti Sarah Shuhaimi, 26, terkejut dengan keadaan di sebuah pasar raya di sini, yang penuh dengan orang ramai yang masing-masing datang untuk menggunakan pembelian Sara.

Katanya, dia memang merancang untuk membuat pembelian barangan bersama kakaknya dan tiba di pasar raya berkenaan sekitar pukul 12 tengah hari.

“Saya berterima kasih kepada kerajaan kerana pemberian wang Sara ini yang dapat meringankan beban keluarga yang berpendapatan rendah.

“Enam orang isi rumah dalam keluarga saya menerima wang Sara RM100. Saya dan kakak sahaja menggunakan bantuan hari ini (semalam), manakala yang lain belum lagi,” katanya.

Seorang kerani, Maizatul Adalia Mazlan, 45, dari Kampung Salor berkata, dia datang ke pasar raya semasa pintu premis tersebut baru dibuka iaitu pukul 9 pagi.

“Saya dan suami menggunakan bantuan untuk membeli bara­ngan dapur seperti beras, minyak dan produk tenusu selain produk penjagaan diri yang boleh digunakan untuk sebulan.

“Pemberian sebanyak RM100 setiap seorang itu sebenarnya dapat meringankan beban keluarga kami,” katanya.

Di George Town, Pulau Pinang, orang ramai menarik nafas lega apabila bantuan Sara sebanyak RM100 mula disalurkan semalam melalui MyKad untuk pembelian barangan keperluan di seluruh negara.

Pekerja kilang, Wahida Azizi Ismail, 30, berkata, cuti umum digunakan sebaiknya untuk membeli barangan keperluan rumah bersama keluarga kerana bantuan tersebut sedikit sebanyak meringankan perbelanjaannya.

“Alhamdulillah, dapatlah saya isi stok makanan di rumah. Sekurang-kurangnya duit gaji boleh dijimatkan untuk keperluan lain,” katanya.

Bagi Muhamad Afifi Abdul Wahid, 40, bantuan Sara dianggap tepat pada masanya kerana dapat mengurangkan beban keluarga.

“RM100 ini memang membantu, lega sikitlah untuk belanja dapur. Kalau harapkan gaji sahaja memang sukar sikit, lebih-lebih lagi dengan anak masih bersekolah,” ujarnya.

Sementara itu, Azimah Ibrahim, 37, berkata, pemberian Sara kali ini walaupun tidak besar jumlahnya, namun mampu mengurangkan beban kos dapur yang semakin meningkat.

“Sekurang-kurangnya kerajaan ada usaha untuk bantu rakyat. Saya dapat kurangkan sedikit belanja bulanan dan tumpu pada perkara lain,” katanya.

Di Sungai Petani, Kedah, sebuah pasar raya di Taman Kelisa Ria, di sini, mulai sesak sejak pukul 9 pagi dengan kehadrian orang ramai yang mahu membeli 14 ka­tegori produk terpilih.

Suri rumah dari Taman Kelisa Ria, Nurhayati Zainol, 55, berkata, dia mengunjungi premis ber­kenaan pada awal pagi bagi mengelak kesesakan terutama di kaunter bayaran.

“Pemberian wang RM100 me­lalui Sara ini cukup besar buat saya sebagai tambahan kepada sumbangan MyKasih yang diterima setiap bulan selama ini.

“Hanya ucapan syukur yang dapat dizahirkan kepada kerajaan kerana meringankan beban orang seperti kami,” katanya.

Bagi Sarvan Singh, 58, yang tinggal di Amanjaya berkata, dia mengunjungi premis di Taman Kelisa Ria kerana mendapati pro­ses pembayaran Sara di premis berkenaan agak cepat walaupun ramai pelanggan membeli bara­ngan keperluan asas menggunakan MyKad.

“Memang hari pertama orang ramai datang beli-belah tetapi dengan persediaan pihak premis membuka lebih banyak kaunter bayaran, ia sangat melancarkan proses pembelian itu.

“Selain itu, banyak produk dapat dibeli di sini dan kami sangat bertuah kerana menjadi antara yang terawal menggunakan bantuan ini,” katanya.

Sementara itu, bekas mekanik, Tan Jua Ming, 59, berkata, dia teruja untuk menggunakan wang Sara yang disalur melalui MyKad kerana tidak lagi mempunyai pendapatan tetap dan hanya bergantung kepada sumbangan melalui MyKasih.

“Saya hanya tinggal bersama isteri kerana tiada anak dan selama ini kami hanya menggunakan sumbangan MyKasih sebanyak RM100 sebulan untuk membeli barangan dapur,” katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 23 Julai lalu mengumumkan pemberian RM100 secara sekali beri kepada setiap warganegara dewasa berusia 18 tahun dan ke atas melalui MyKad di bawah program Sara yang bermula 31 Ogos sehingga 31 Disember.

Read Entire Article
Pertanian | | | |