KABUL – Pakistan mengebom bandar Kabul dan Kandahar di Afghanistan hari ini, beberapa jam selepas tentera Afghanistan menyerang askar di sempadan Pakistan sebagai tindakan balas terhadap serangan udara Islamabad sebelum ini.
Kedua-dua belah pihak berkata, mereka membunuh berpuluh-puluh askar musuh dalam pertempuran di sempadan. Perkembangan itu menyusul siri serangan Pakistan ke atas Afghanistan dan pertempuran di sepanjang sempadan yang berlarutan sejak beberapa bulan lalu.
“Serangan ke atas Taliban Afghanistan disasarkan di Kabul, Paktia (wilayah) dan Kandahar,” kata Menteri Penerangan Pakistan Attaullah Tarar di platform X.
Di Kabul, pasukan AFP mendengar bunyi jet dan beberapa letupan kuat, diikuti tembakan, selama lebih dua jam.
Wartawan AFP di bandar Kandahar, selatan Afghanistan yang menjadi pangkalan Pemimpin Tertinggi Hibatullah Akhundzada berkata, dia mendengar bunyi deruan jet di udara.
Kerajaan Taliban mengesahkan serangan udara Pakistan dengan jurucakapnya, Zabihullah Mujahid berkata, tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Beberapa jam sebelum itu, Mujahid mengumumkan ‘operasi serangan berskala besar’ di sempadan ‘sebagai tindak balas kepada pencabulan berulang kali tentera Pakistan’.
Dalam perkembangan berkaitan, Kementerian Pertahanan Afghanistan melaporkan bahawa lapan askarnya terbunuh dalam serangan darat itu.
Pegawai Afghanistan, Qureshi Badlun berkata, beberapa orang awam cedera berhampiran lintasan sempadan Torkham, di sebuah kem menempatkan warga Afghanistan yang kembali dari Pakistan.
“Sebiji peluru mortar telah mengenai kem dan malangnya tujuh pelarian kami telah cedera dengan seorang wanita parah,” katanya. – AFP

19 hours ago
8

















































