Operasi khas gempur kenderaan perdagangan: 1,672 notis saman dikeluar

2 hours ago 1

KUALA LUMPUR – Sebanyak 8,225 kenderaan perdagangan diperiksa Jabatan Pengangkutan Jalan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPJ WPKL) sepanjang 17 hari pelaksanaan Operasi Khas Gempur Kenderaan Perdagangan bermula 1 September lalu.

Daripada jumlah itu, sebanyak 575 kenderaan dikenakan tindakan manakala 1,672 notis saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan, selain lapan kenderaan turut disita kerana melanggar peraturan serius dan berulang.

Pengarah JPJ WPKL, Hamidi Adam berkata, daripada lapan kenderaan yang disita, empat daripadanya dipandu oleh pengendali ekonomi tanpa lesen (Pewa) iaitu sebuah tipper dumper (lori penggondol), dua lori roro serta lima lori kargo am kecil.

Beliau berkata, operasi yang dijalankan hingga 31 Disember ini memberi tumpuan kepada empat kesalahan utama iaitu memandu berterusan di lorong kanan, memotong di garisan berkembar, Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan insurans tamat tempoh serta ketidakpatuhan spesifikasi pembinaan dan penggunaan kenderaan.

“Langkah ini diambil susulan peningkatan insiden kemalangan jalan raya membabitkan kenderaan perdagangan termasuk yang menyebabkan kematian dan kecederaan serius kepada pengguna jalan raya.

“Berdasarkan rekod, punca utama kemalangan adalah kegagalan mematuhi spesifikasi teknikal, penyelenggaraan lemah selain sikap cuai dan tidak beretika semasa memandu,” katanya selepas operasi berkenaan di Plaza Tol Sungai Besi di sini hari ini.

Jelas beliau, pemeriksaan dijalankan di lokasi strategik sekitar ibu kota termasuk laluan utama kenderaan barangan serta kawasan tumpuan kenderaan perkhidmatan awam, melibatkan semakan dokumen, pemerhatian fizikal dan penilaian tahap pematuhan spesifikasi teknikal.

Menurut Hamidi, JPJ tidak akan berkompromi dengan pemilik atau pemandu yang sengaja mengabaikan aspek keselamatan, malah tindakan tegas termasuk saman, penyitaan dan arahan pemeriksaan akan dilaksanakan serta-merta.

“Pada masa sama, JPJ turut mengutamakan pendekatan advokasi dengan memberi penerangan di lokasi operasi supaya pemandu dan pemilik kenderaan faham kesalahan mereka dan langkah pembetulan yang perlu diambil,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |