Olahragawati MSSM ke-65 cemerlang sukan, akademik

2 weeks ago 12

KANGAR – Gelaran Olahragawati Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) Perlis Ke-65 bukan sahaja menjadi penutup manis buat pelari Terengganu, Izzatul Musfirah Ahmad Kamal Azira, malah membuktikan kecemerlangannya seiring dalam bidang akademik.

Atlet berusia 17 tahun itu yang menamatkan aksi terakhir di pentas MSSM berkata, kejayaan meraih anugerah berprestij itu menjadi hadiah terbaik buat dirinya selepas berjuang habis-habisan dalam acara pecut.

“Ini tahun terakhir saya di MSSM dan saya harap anugerah ini memberikan semangat kepada atlet muda yang sedang bangkit sekarang,” katanya.

Lebih manis, Izzatul turut memecahkan rekod kejohanan menerusi acara 100 meter (m), 200m selain membantu pasukan berganti-ganti 4x100m dan 4x400m meraih emas.

Pecutan bertenaga anak ketiga dari empat beradik itu dalam acara 200m dengan catatan 24.24s juga mengatasi atasi rekod MSSM tahun lalu serta mengatasi rekod ‘Asean School Games’.

Jelasnya, dia tidak mahu meletakkan harapan terlalu tinggi sebaliknya mahu menikmati setiap perlumbaan tanpa tekanan selepas dibelenggu kecederaan teruk setahun lalu.

“Bagi saya, yang penting ialah saya ‘enjoy’ larian saya dan apa sahaja keputusan, saya terima dengan hati terbuka,” katanya.

Mengulas mengenai rahsia kejayaannya, pelajar aliran Sains Sukan itu menegaskan disiplin menjadi kunci utama dalam mengimbangi antara latihan dan pelajaran.

“Pagi saya sekolah macam biasa, petang berlatih, malam pula belajar dan siapkan kerja rumah. Walaupun penat, saya disiplinkan diri untuk tidur awal dan jaga jadual.

“Alhamdulillah, hasil pengorbanan itu, saya mendapat keputusan cemerlang dalam percubaan Sijil Pelajaran Malaysia dengan memperoleh 9A,” ujarnya.

Katanya, buat masa ini dia masih berbincang dengan keluarga, jurulatih serta pandangan ramai untuk menentukan hala tuju pengajian tinggi, namun dengan kelebihan sukan dan akademik, dia berhasrat melanjutkan pelajaran di tempat lebih baik.

Tambahnya, jaguh pecut remaja itu berharap mendapat sokongan semua pihak agat dapat terus melangkah lebih jauh dalam pelajaran dan sukan. KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |